Berita

92 peratus penjawat awam di Labuan telah divaksinasi

MENURUT Dr Fary Akmal Osman (tengah), pihaknya bersama agensi penguatkuasa dan agensi kerajaan akan meningkatkan pemantauan bagi menggalakkan kakitangan kerajaan dan pekerja swasta mendapatkan suntikan vaksin lengkap.
- Diterbit 25 Julai 2021 10:38 AM MYT

SEJUMLAH 92.3 peratus iaitu 6,948 penjawat awam di Labuan sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19, setakat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Dr Fary Akmal Osman, berkata beliau dimaklumkan ketua-ketua jabatan di pulau bebas cukai itu yang mengesahkan semua kakitangan telah menerima vaksinasi.

“Kita anggarkan vaksinasi penjawat awam mencapai 98 peratus dalam masa terdekat.

“Apabila perkhidmatan kaunter dibuka kepada orang awam, ianya selamat kepada warga Labuan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan program Pemantauan dan Promosi Kadar Vaksinasi Industri dan Ekonomi Labuan di beberapa syarikat swasta di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fary berkata, vaksinasi untuk pekerja di sektor swasta dan ekonomi telah mencapai lebih 85 peratus.

Katanya, menerusi data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan, sebanyak 99 peratus peruncit telah mendapat dua dos suntikan vaksin.

“Selain peruncit, peratusan yang sama adalah pekerja dan pelanggan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Manakala 98 peratus merupakan peniaga dan pekerja pasar Peladang dan Pusat Proses Ayam (seliaan LPP) dan 80 peratus bagi pekerja kilang telah melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Fary berkata, pihaknya bersama agensi penguatkuasa dan agensi kerajaan akan meningkatkan pemantauan bagi menggalakkan kakitangan kerajaan dan pekerja swasta mendapatkan suntikan vaksin lengkap.

“Cara ini bertujuan untuk mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat.

“Di atas arahan Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri TPr Annuar Musa), pulau ini akan mengetatkan kawalan dan memastikan pematuhan diteruskan melalui Ops Pemantauan Pematuhan demi kesejahteraan serta keselamatan seluruh warga Labuan,” katanya. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas