Atlet Wilayah

Mulhim sedia beraksi di MPFL 2021

MULHIM hampir kehilangan semangat untuk beraksi. MULHIM hampir kehilangan semangat untuk beraksi.
- Diterbit 25 Julai 2021 6:00 AM MYT

ATLET futsal Mulhim Muqri Faisal, 23, mengakui tidak sabar untuk mempamerkan aksi pada Liga Primier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 yang dijangka berlangsung seawal September depan.

Dia yang hampir dua tahun tidak berpeluang beraksi gara-gara wabak COVID-19 berharap dapat mempamerkan aksi bermutu untuk memastikan dirinya berjaya ke peringkat tertinggi dalam kejohanan futsal di Malaysia.

“Saya berharap agar situasi kembali pulih dan kejohanan dapat diteruskan. Sejujurnya saya turut berasa murung kerana tidak dapat menyertai perlawanan seperti sebelum ini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Pemain di posisi ‘ala’ ini berkata, sepanjang tempoh hampir dua tahun kebelakangan ini, dia hampir kehilangan semangat dan berhasrat untuk berhenti bermain futsal.

“Apabila perasaan kecewa datang, saya terpaksa cepat positifkan minda dengan cara menonton semula video-video jaringan saya antaranya semasa MPFL 2019 dan di peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Dengan cara itu dapat mengembalikan semula semangat dan seterusnya membuat latihan bagi mengekalkan stamina sekali gus prestasi diri,” ujar pelajar Politeknik Metro Kuala Lumpur ini.

Turut berpesan kepada atlet di luar sana agar tidak terlalu tertekan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Mulhim berkata kesihatan minda paling penting untuk menentukan arah pemain itu sendiri.

“Terus melakukan latihan untuk meningkatkan persembahan masing-masing. Kalau boleh kena rajin buat latihan bersama rakan-rakan secara dalam talian.

“Dengan cara ini, secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kerana terlalu lama duduk di rumah,” ujarnya yang mewakili pasukan Selangor Tot United dalam MPFL 2021 akan datang.

Menggunakan kaki kiri sebagai kaki utama sama seperti pemain idolanya, Ricardinho dari kelab Inter Movistar di Sepanyol, Mulhim ingin berusaha untuk sampai ke tahap terbaik seperti yang digapai oleh pemain tersebut.

Insya-Allah suatu hari nanti saya akan bergelar pemain hebat seperti dirinya,” ujar anak kelahiran Selayang yang mula bermain ketika usia 11 tahun. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas