Utama

PUSARA mudahkan urusan jenazah COVID-19

ANNUAR (tengah) meninjau satu daripada lima buah kontena yang diubahsuai menjadi tempat penyimpanan jenazah yang ditempatkan di PUSARA.
- Diterbit 26 Julai 2021 4:49 AM MYT

PUSAT Sehenti Sementara Urus Mayat (PUSARA) yang diwujudkan adalah bertujuan untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19 dengan teratur dan sempurna serta sesuai dengan situasi semasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, bagi memenuhi tuntutan tersebut, waris jenazah diminta untuk membenarkan keutamaan urusan pengkebumian dilakukan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Ia bertujuan untuk memudahkan waris jenazah COVID-19 dalam menyegerakan proses pengkebumian dengan kemudahan sudah tersedia termasuk petugas yang menguruskannya secara berjadual.

dan merayu kepada keluarga jenazah COVID-19 mengizinkan proses (pengkebumian) dijalankan di dua tanah perkuburan yang telah ditetapkan iaitu di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Tapi, kalau ada mana-mana waris mahu proses pengkebumian di tanah perkuburan lain, itu terpaksa dirunding dengan pihak pengurusan kerana ia mungkin ada kekangan tertentu dan melambatkan proses. Dalam keadaan sekarang, adalah ada baiknya di kebumikan di tanah perkuburan yang ditetapkan bagi mengelakkan kluster di tempat pengkebumian,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat dan meninjau operasi PUSARA di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis, Datuk Azmi Abu Kasim, dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Nordin Pauzi,

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Rohana Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun.

Beliau berkata bagi memudahkan operasi PASUM, urusan logistik akan dikendalikan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan sokongan daripada beberapa agensi dan sukarelawan akan melicinkan lagi operasi pusat tersebut termasuk penglibatan JAWI dalam urusan jenazah Islam secara berjadual.

Kata Annuar, pihak kerajaan akan menambah satu lagi perkhidmatan untuk memudahkan waris mendapatkan bantuan tunai daripada NADMA sebanyak RM5000.

“Bantuan segera itu adalah untuk perbelanjaan pengurusan jenazah dan ia akan dilaksanakan secara one stop system supaya tidak timbul masalah yang berpanjangan.

“NADMA akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan YWP untuk proses tersebut,” katanya.- AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas