Berita

Langkah ‘lockdown’ berkesan putuskan rangkaian Covid-19

PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini.
- Diterbit 22 Mac 2020 9:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula mengerahkan kira-kira 7,500 anggotanya hari ini bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat dari 18 hingga 31 Mac ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kesemua anggota yang dikerahkan itu bertugas di seluruh negara bagi mengawal pergerakan orang ramai dalam usaha memutuskan rangkaian penyebaran jangkitan Covid-19.

“Kesemua anggota tersebut ditempatkan di kawasan yang kritikal serta tempat tumpuan orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan pada hari pertama anggota ATM digerakkan membantu PDRM dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Ampang di sini.

AFFENDI membuat tinjauan pada hari pertama ATM digerakkan bagi membantu PDRM dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan di ibu kota hari ini.

Affendi berkata, pihaknya menjangka terdapat penambahan anggota ATM bagi tugas tersebut.

“Jika terdapat beberapa tempat lagi yang diperlukan untuk diperkasakan, kita akan tambah anggota mengikut keadaan.

“Setiap negeri ada batalion serta unit-unit terdekat yang akan membantu pihak polis untuk mengawal pergerakan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Affendi berkata, arahan ‘lockdown’ merupakan salah satu cara untuk memutuskan rangkaian virus Covid-19.

“Sekiranya rantaian virus ini tidak diputuskan, cara-cara kita hendak meredakan Covid-19 tidak berkesan.

“Kita hendak atau tidak, kaedah itu perlu diperkasakan supaya ia berjaya,” tegas beliau.

Affendi berkata, orang ramai perlu mengambil contoh negara-negara yang telah mempunyai perubahan dalam menyekat penularan wabak tersebut setelah menggunakan kaedah ‘lockdown’.

“Orang ramai beranggapan perintah kawalan pergerakan adalah menyusahkan serta memberi pelbagai masalah.

“Kalau kita tidak buat (perintah kawalan pergerakan) penyelesaian untuk Covid 19 tidak akan berjaya, sebab itu kerajaan beri tempoh 14 hari kerana ia merupakan tempoh yang kritikal.

“Sekiranya kerajaan tidak melaksanakan kaedah tersebut, masalah itu tidak dapat diselesaikan dan kemungkinan besar ia akan bertambah berkali ganda seperti yang kita lihat di negara lain,” kata beliau.

Sementara itu, tinjauan Wilayahku sekitar ibu kota mendapati anggota ATM mula dikerahkan pada pukul 2 petang untuk membantu pasukan polis dalam sekatan jalan raya dalam memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas