Berita

4 premis pelacuran ditutup DBKL

- Diterbit 17 November 2023 12:01 PM MYT

ENAM buah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti seks dan pelacuran di sekitar ibu kota diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Seks/Pelacuran), malam tadi.

DBKL berkata, operasi itu melibatkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan DBKL di sekitar Jalan Genting Klang, Prima Setapak, Danau Kota dan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur bermula pukul 10 malam dan berakhir sekitar pukul 2.30 pagi.

“Dalam operasi kali ini, DBKL telah menahan sementara 34 orang wanita warganegara asing terdiri daripada 18 warga Vietnam, 9 warga China dan tujuh warga Indonesia di mana kesemuanya disyaki sebagai pekerja dan pelayan seks.

“Kita juga turut menahan lima orang lelaki yang dipercayai penjaga premis warga tempatan serta tujuh pelanggan yang hadir ke premis pelacuran berkenaan semasa sebuan dijalankan untuk rekod dokumentasi,” katanya.

Pada serbuan tersebut, DBKL memaklumkan empat buah premis dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) di bawah Seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan tempatan 1976 beserta lima notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 susulan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran atau lesen daripada DBKL.

Dalam pada itu, lima buah premis turut dikenakan tindakan sita termasuklah 98 barangan dan peralatan elektronik membabitkan monitor, modem, dekoder, kondom, tisu, router, televisyen, gel pelincir termasuk kamera litar tertutup (CCTV) kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Kesemua barangan dan peralatan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Kuala Lumpur bagi tujuan pendokumentasian dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis dikenakan.

Menurut DBKL, serbuan tersebut diadakan hasil daripada risikan asukan penguatkuasa sebelum ini mendapati terdapat beberapa lokasi premis tumpuan (hotspot) yang menjalankan aktiviti tidak bermoral selain mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran melibatkan wanita warga asing dari negara Vietnam, China dan Indonesia.

Katanya, pihaknya akan meneruskan dari semasa ke semasa di samping turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan yang lain khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas