Berita

4 individu tidak memakai pelitup muka dikompaun

- Diterbit 10 Oktober 2020 3:48 PM MYT

EMPAT individu yang juga warga tempatan telah dikompaun RM1,000 setiap seorang akibat tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan awam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kes pertama seorang lelaki didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di hadapan sebuah restoran di kawasan bandar dan turut didapati sedang merokok.

“Kes kedua, seorang lelaki juga turut dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

“Bagi kes ketiga, kedua-dua wanita yang juga pekerja di sebuah Pusat Snooker di kawasan bandar telah dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika sedang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mereka didapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ) (No.8) 2020.

Justeru itu, pihak PDRM menasihatkan orang ramai supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19 di Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas