Berita

Polis Labuan siasat penyebar berita palsu

- Diterbit 10 Oktober 2020 4:48 PM MYT

POLIS Labuan sedang menyiasat satu berita palsu yang tular di media sosial Whatsapp baru-baru ini mengenai wujudnya satu kluster COVID-19 baharu di Pulau Bebas Cukai itu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pengurus di sebuah pasar raya di sini mengenai berita palsu dan pengadu merasakan berita tular memberikan kesan kepada perniagaan serta pelanggannya.

“Pengadu menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 4.30 petang ketika berada di premis perniagaannya.

“Kandungan dalam aplikasi tersebut menyatakan ‘ada kluster baru, jgn jalan2 g savemore & sekitarnya, jgn jalan ke mari dlu, jgn pigi savemore, milimewa, klinik dr.tan, kluster baru labuan, kawasan merah ne, airport atm (maybank), milimewah, utama jaya, toto dpn terminal feri, BSN, restoran raff, jj nazar utama jaya dgn dekat bsn, pasar utc’,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, tindakan menyebarkan perkara yang tidak pasti melalui media sosial membabitkan tempat-tempat yang disebutkan, didapati boleh menimbulkan kegusaran kepada orang awam.

“Oleh itu, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya juga menasihatkan orang awam agar tidak berkongsi maklumat berkenaan dengan berita yang tidak pasti bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas