Berita

4.37g pil ekstasi dirampas, tokan dadah ditahan

- Diterbit 24 Disember 2020 9:32 AM MYT

SEPASUKAN polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai mengedar dadah jenis pil ekstasi, dalam serbuan di sebuah residensi di Jalan Ipoh, Selasa lalu.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, susulan tangkapan pada pukul 5.30 petang itu, polis turut menjumpai 13,058 biji pil ekstasi (4.37 gram) yang dianggarkan bernilai RM235,044.

Ujarnya, pil ekstasi yang dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada 13,000 individu.

“Suspek berusia 43 tahun itu menyembunyikan dadah di dalam kereta jenis Mercedes Benz.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek mendapati, dia positif dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Adnan, suspek direman selama enam hari sehingga 29 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas