Berita

Bunyi kuat supaya penduduk lebih peka situasi semasa

ROSIDA (tiga kiri) mendengar penerangan ketika sesi lawatan turun padang bagi memantau keberkesanan dan pengoperasian sistem siren amaran banjir.
- Diterbit 4 November 2022 6:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah baik sistem pengesanan banjir serta menaik taraf sungai di ibu negara sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata usaha itu telah dilaksanakan melalui 14 langkah interim seperti yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 yang dilancarkan pada Mei lalu.

“DBKL sudah menaik taraf laluan sungai dan memastikan ia dalam keadaan baik selain turut membaik pulih siren amaran banjir. Kita kuatkan bunyi siren supaya penduduk lebih peka dan kita pun sudah buat simulasi.

“Kita jangkakan jika taburan hujan sekitar 100 milimeter (mm) ke 200 mm iaitu melebihi normal 30 mm, air (sungai) akan naik dan apa yang dilaksanakan DBKL ketika ini dijangka dapat mengatasi masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pada Program Titipan Kasih Wilayah Persekutuan Hijau di Taman Herba Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Rosida berkata langkah DBKL seterusnya adalah mendekati masyarakat untuk menyalurkan maklumat mengenai amaran banjir supaya mereka sentiasa peka dan berwaspada.

“Apabila kita sudah memastikan naik taraf dan baik pulih dibuat, apa kita lakukan sekarang adalah pergi kepada penduduk supaya mereka faham jika terdengar bunyi siren amaran itu,” katanya.

Melalui pelan tersebut, DBKL melaksanakan 14 langkah interim dengan kos sekitar RM10 juta sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang yang masih dalam kajian Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan dijangka selesai April tahun depan dapat dilaksanakan.

Pelan yang berpandukan kepada ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) itu membabitkan 33 ‘hot spot’ antaranya Jalan Pintasan Segambut, Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuhraya Sultan Iskandar dan Jalan Maharajalela.

Sehingga kini, DBKL telah berjaya mengurangkan jumlah hot spot kepada tiga kawasan sahaja namun pondok bit di kawasan tersebut masih dikekalkan sebagai langkah siap siaga menghadapi cuaca yang tidak menentu. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas