Berita

28 keluarga diberi rumah transit

ANNUAR (tengah) menyampaikan surat tawaran penempatan sementara kepada seorang penduduk yang terlibat di Menara DBKL hari ini.
- Diterbit 18 Ogos 2020 9:20 AM MYT

28 BUAH keluarga di sebuah kawasan setinggan diberi rumah transit susulan kawasan yang didiami bakal dimajukan oleh pemilik asal.

Majlis penyerahan surat tawaran itu disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi, Datuk Ibrahim Yusoff, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Anwar Md. Zain dan Penasihat Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, penduduk yang terlibat adalah kira-kira 31 keluarga namun tiga keluarga didapati tidak layak untuk mendapat penempatan tersebut.

“Apabila data yang ambil, salah seorang daripada mereka didapati mempunyai rumah manakala dua lagi mempunyai pasangan bukan warganegara,” katanya.

Beliau memberitahu, setiap penduduk yang terlibat turut mendapat pampasan kira-kira RM5,000 setiap keluarga manakala 28 penduduk turut menerima bantuan bayaran wang cagaran RM500 yang disumbangkan oleh pemaju untuk penempatan sementara.

Semua 28 penduduk akan ditempatkan di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu di PPR Muhibbah, PPR Seri Pantai, PPR Kerichi dan PPR Cempaka secara cabutan undi. – OLEH: AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas