Berita

Setem khas jubli emas Rukun Negara dijual mulai hari ini

- Diterbit 18 Ogos 2020 8:40 AM MYT

SIRI setem khas dan sampul surat hari pertama 50 Tahun Rukun Negara keluaran Pos Malaysia mula dijual hari ini melalui kedai dalam talian www.eziemall.com dan pejabat pos di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata siri setem itu memperkenalkan lima rekaan menarik dan 250,000 keping dikeluarkan bagi setiap rekaan dengan nilai muka 60 sen setiap satu.

Beliau berkata setiap rekaan menampilkan satu daripada lima prinsip Rukun Negara, logo rasmi Rukun Negara ke-50 dan Bunga Raya.

“Kami menumpukan masa dan usaha dalam proses rekaan koleksi khas 50 Tahun Rukun Negara ini untuk mencerminkan secara tepat semangat dan nilai Rukun Negara yang berfungsi sebagai aspirasi nasional bagi rakyat Malaysia dalam usaha membina sebuah masyarakat bersatu padu dan harmoni demi memastikan kejayaan dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lembaran mini peringatan khas juga diterbitkan dan harus dimiliki oleh para pengumpul dan ia dihasilkan dengan teknik potongan terap dan kemasan emas bagi bagi menandakan sambutan Jubli Emas Rukun Negara.

Sejumlah 25,000 keping dihasilkan dan dijual pada harga RM5 setiap satu.

Sampul surat hari pertama bersama setem dan sampul surat hari pertama bersama lembaran mini juga boleh didapati masing-masing pada harga RM3.50 dan RM5.50.

Bagi melengkapkan koleksi ini, sebanyak 2,000 folder keluaran khas boleh dibeli secara berasingan pada harga RM6 setiap satu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas