Lebih 153,000 jawatan kosong diiklankan di Myfuturejob

Lebih 153,000 jawatan kosong diiklankan di Myfuturejob

LEBIH 153,000 jawatan kosong pelbagai sektor telah diiklankan majikan di seluruh negara melalui Portal Pekerjaan Negara, MyfutureJobs yang dilancarkan sejak 15 Jun hingga 14 Ogos lepas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 7,638 jawatan kosong ditawarkan menerusi Karnival Penjana Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang mana 5,662 daripadanya merupakan kekosongan jawatan di Melaka.

“Dengan kadar pengangguran yang amat rendah iaitu 1.1 peratus di Melaka, hal ini menyebabkan sangat sukar bagi majikan di negeri ini, untuk mendapatkan pilihan calon yang bersesuaian.

“Saya menyarankan majikan di Melaka yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja, supaya bekerjasama dengan Perkeso Melaka, untuk mendapatkan calon dari negeri berdekatan seperti Negeri Sembilan atau Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis perasmian Karnival Penjana Kerjaya ‘Melaka Careertrans 2020’ di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon pada majlis yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.

Karnival Penjana Kerjaya yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama dua hari sehingga esok itu, bertujuan meningkatkan kadar kebolehpekerjaan dalam kalangan masyarakat yang terjejas akibat COVID-19 dan disertai 32 majikan serta 10 penyedia latihan berdaftar di bawah Perkeso. – BERNAMA

CATEGORIES