Advertorial

Tambah 186 PEDi dalam tempoh 2 tahun

Anwar (tengah) bersama kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang dan Kementerian Komunikasi meluncurkan karnival tersebut
- Diterbit 26 Februari 2024 7:19 PM MYT

KERAJAAN Persekutuan komited menambah 186 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bagi meningkatkan lagi tahap literasi digital dan membantu komuniti setempat menjana pendapatan.

Sebagai sebuah pusat sehenti yang menyediakan khidmat latihan perniagaan dalam talian (online), PEDi turut berperanan sebagai pusat kemajuan dan kecemerlangan untuk semua golongan tanpa mengira status sosial dan geografi.

Menerusi 911 buah PEDi di seluruh negara, ia boleh dianggap sebagai pusat pembangunan ekonomi setempat termasuklah menjadi gerbang kepada transformasi digital yang kini menjadi nadi dalam pertumbuhan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi situasi negara yang mulai stabil, keadaan ini telah memungkinkan pemusatan perhatian sepenuhnya kearah pembangunan ekonomi dan transformasi digital.

“Di antara langkah yang saya lihat hari ini termasuklah memperluaskan soal digital yang perlu ditangani dengan baik bagi mengelakkan berlaku kesenjangan di antara golongan terdidik dengan masyarakat desa.

“Oleh kerana ini teknologi baharu dan jika tidak ditangani ia memerlukan kos tambahan dan kecanggihan yang perlu ditanggung oleh kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ujar Perdana Menteri, kerajaan termasuk MCMC tidak mahu kalangan bumiputera ketinggalan dalam arus digital negara sekali gus telah merangka pelbagai program demi meningkatkan literasi digital kepada komuniti setempat.

“Jika anak-anak hendak belajar dengan ibu bapa soal transformasi digital, ini agak sukar melainkan ibu bapa yang terdidik di kota dengan kemudahan yang ada.

“Maka Majlis Pembangunan Bumiputera perlu bersama MCMC dan memberikan perhatian khas seperti memanfaatkan PEDi di seluruh negara,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, literasi digital ini adalah program yang sengaja diperluaskan melalui PEDi dan pertambahan 186 lagi PEDi secara berperingkat di seluruh negara untuk tempoh dua tahun memungkinkan hasrat tersebut tercapai.

Disamping itu, Anwar berkata Menteri Komunikasi turut memberikan penumpuan termasuklah memperluaskan skop dan kegiatan PEDi agar ia boleh dimanfaatkan dalam kalangan komuniti setempat secara optimum.

“Ia bersekali dengan program lain seperti latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sebelum itu turut diperkenalkan di maahad tahfiz kerana dahulunya tidak dianggap penting kerana ia merupakan aliran teknik tahap kedua.

“Dengan tumpuan kerajaan terhadap bidang ini dan individu yang terdidik dengan TVET dan kalau diberikan kursus yang strategik akan memperolehi upah dan gaji yang lebih tinggi,” katanya.

Perdana Menteri berkata dengan penambahan tersebut, dalam tempoh dua tahun ini, MCMC akan mengelola sebanyak 1,097 PEDi seluruh negara berbanding 911 ketika ini.

186 PEDi baharu ini akan diwujudkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun dan Pulau Pinang adalah negeri yang akan menerima PEDi baharu yang terbanyak iaitu sebanyak 38 PEDi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan PEDi di negeri tersebut kelak adalah sebanyak 41 PEDi termasuk tiga buah PEDi sedia ada.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas