Berita

20 keluarga mualaf Orang Asli terima barang keperluan untuk persiapan raya

IZZAH Hanim menyerahkan barang keperluan asas kepada salah seorang daripada 20 penerima bantuan sumbangan IMAN kepada mualaf Orang Asli, di Gombak.
- Diterbit 10 Mei 2021 5:17 AM MYT

PRIHATIN dengan komuniti Orang Asli yang turut terkesan penularan COVID-19, mendorong Parti Perikatan Nasional India Muslim (IMAN), tampil menghulur bantuan kepada 20 keluarga mualaf di perkampungan Orang Asli sekitar Gombak.

Sumbangan pek barang keperluan harian sebagai persiapan menjelang perayaan Aidilfitri, diharap dapat meringankan beban belanja penerima yang rata-ratanya adalah golongan B40 dan seterusnya memberi sinar keriangan buat mereka.

Bagi Ketua Wirawati IMAN Malaysia, Izzah Hanim Ismail, sumbangan barang keperluan antaranya beras, gula, tepung, minyak masak dan beberapa produk makanan diagihkan kepada 20 keluarga mualaf yang telah dikenalpasti dan memerlukan.

“Usaha ini diambil bagi membantu mereka yang memerlukan, merigankan beban belanja dapur setiap keluarga tambahan pula boleh dimanfaat untuk persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya selepas program Sumbangan Hari Raya Untuk Mualaf Orang Asli di Gombak, Sabtu lalu.

Semua penerima adalah Orang Asli setempat dan telah memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu, kini mengamalkan sepenuhnya tuntutan agama termasuk berpuasa dan meraikan hari raya.

Mengulas lanjut, Izzah Hanim berkata, setiap pek sumbangan barang asas itu dianggarkan bernilai RM150 dan mampu menampung kegunaan seisi rumah untuk beberapa hari.

Selain memberikan penjimatan kepada penerima katanya, inisiatif dilaksana juga secara langsung memberi ruang bagi IMAN menyantuni golongan sasar rakyat di akar umbi seterusnya membawa senyuman riang untuk para penerima.

“Selain sumbangan barang keperluan, IMAN pada sepanjang Ramadan ini turut meraikan golongan kurang mampu seperti gelandangan serta asnaf dengan mengagihkan juadah berbuka setiap hari di serata lokasi sekitar Kuala Lumpur, memanfaat kira-kira 6,000 penerima termasuk orang awam.

“Selain itu juadah berbuka ini turut diberi kepada ibu tunggal serta petugas barisan depan seperti anggota polis, Bomba dan Penyelamat, RELA dan lain-lain sebagai tanda terima kasih dan bersama berkongsi rezeki demi sejahtera warga,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas