Berita

Video Dr. Mahathir titipkan nasihat buat remaja sempena merdeka

TUN M
DR. MAHATHIR dikelilingi remaja ketika menceritakan erti kemerdekaan (sedutan klip video).
- Diterbit 28 Ogos 2019 8:32 PM MYT

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat penampilan yang santai dalam sebuah video khas sempena Hari Kemerdekaan ke-62 dengan berinteraksi penuh keceriaan bersama sekumpulan remaja di persisiran Tasik Putrajaya.

Dalam video berdurasi empat minit itu, Dr. Mahathir disapa remaja berkenaan ketika beliau mengambil kesempatan bersiar dengan berjalan kaki di tepi tasik berkenaan.

Pada pertemuan tersebut, kumpulan remaja berbilang kaum itu begitu teruja bertanya beberapa soalan mengenai kemerdekaan tanah air.

Dalam kesempatan itu, Dr. Mahathir berharap golongan remaja dapat berusaha mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan jangan sengaja menimbul kemarahan mana-mana kaum di negara ini.

Sambil memberikan jaminan bahawa kerajaan akan menentukan nasib yang lebih baik bagi remaja di negara ini, Perdana Menteri mahu golongan itu memahami keadaan negara ini yang berbilang kaum.

Ditanya perkara yang paling susah sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata; ”Negara kita berbilang kaum, kita perlu berhati-hati apabila berkata sesuatu, kita tidak kena sensitiviti kaum tertentu, apa yang kita buat yang kita kata tidak menyebabkan perasaan rasis ini timbul.”

Sementara itu, Dr. Mahathir menyatakan, kemerdekaan negara amat penting kerana ia membolehkan rakyat menentukan nasib mereka sendiri dan berusaha untuk memajukan negara ini.

Apa yang membezakan ketika negara dijajah, kata Perdana Menteri, sekarang rakyat boleh pilih kerajaan sendiri.

”Itu amat berbeza ketika zaman penjajah yang mana kita tidak ada suara sama sekali dalam pemerintahan negara, semuanya ditentukan penjajah dan mereka berusaha untuk kepentingan mereka dan bukan untuk kita,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menyambut kemerdekaan buat kali pertama pada tahun 1957, Dr. Mahathir yang mempunyai pengalaman hidup ketika sebelum merdeka dan selepas merdeka berkata, sambutan tersebut sungguh menggembirakan.

”Exciting, fasal dulu kita dijajah sekarang kita berasa bebas pada merdeka yang pertama, kita rayakan di seluruh negara,” katanya.

Berkenaan soalan adakah rakyat benar-benar rasa merdeka, Dr. Mahathir menjelaskan, negara ini benar-benar merdeka namun pada masa sekarang ramai yang terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh termasuk daripada orang asing namun sifat sebagai orang Malaysia masih ada.

Dalam pada itu, babak di penghujung video tersebut begitu menyentuh perasaan apabila Dr. Mahathir beredar meninggalkan kumpulan remaja tersebut dan meneruskan perjalanan seorang diri. Video tersebut dimuat naik di laman Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas