Berita

15,000 peserta ‘Berjalan Teguh Bersama’

ISMAIL Sabri (tengah) berjalan sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Program 'Berjalan Teguh Bersama' sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putra, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 30 Julai 2022 6:38 AM MYT

SERAMAI 15,000 peserta Keluarga Malaysia menyertai Program ‘Berjalan Teguh Bersama’ yang berkonsep berjalan secara santai sepanjang 2.7 kilometer di Dataran Putra, Putrajaya hari ini.

Program yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri TPr Annuar Musa berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik, meriah dan warna-warni.

Menurut Ismail Sabri, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

“Teguh Bersama merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

“Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita menyejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global.

“Saya yakin apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan Keluarga Malaysia. Bak kata perumpamaan ‘segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi’,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 hari ini.

Tambah beliau, bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan, seluruh Keluarga Malaysia diseru untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara dan menggelorakan semangat patriotisme.

Selain itu, sebanyak 300 Pasukan Basikal Komuniti Putrajaya, 65 motor berkuasa tinggi BMW K16, 27 kenderaan jenis pacuan empat roda (4X4) daripada semua kementerian, lima kenderaan Jabatan Penerangan (JaPen), 20 kenderaan Foodpanda, 10 kenderaan Grab Food, tujuh Kenderaan Pos Malaysia dan satu Van iM@JaPen turut serta bagi memeriahkan majlis tersebut.

Lebih menarik, Keluarga Malaysia yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan muzik Irama Gema Asal, Irama Borneo, persembahan artis jemputan serta Pameran Kenegaraan iaitu ‘Dasawarsa Kemerdekaan’, pancaragam sekolah, penampilan maskot-maskot kegemaran kanak-kanak seperti Upin Ipin, badut belon dan lain-lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas