Agama

14 qari, qariah bakal perdengar bacaan ayat suci al-Quran

JOHAN menanti Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad merupakan antara qari yang akan memperdengarkan bacaan.
- Diterbit 17 Januari 2020 8:06 AM MYT

SERAMAI 14 qari dan qariah bakal memperdengarkan bacaan mereka pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2020M yang dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Januari ini (Selasa hingga Khamis).

Qari terdiri daripada empat peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, seorang Putrajaya dan seorang johan menunggu manakala qariah terdiri daripada empat peserta dari Kuala Lumpur, seorang dari Labuan, seorang dari Putrajaya dan seorang johan menunggu.

Bagi Majlis Menghafaz Al-Quran pula seramai 32 peserta bakal memperdengarkan hafazan mereka dalam tiga kategori iaitu 1-10 juzuk melibatkan 12 peserta lelaki dan perempuan), kategori 1-20 juzuk yang juga melibatkan 12 manakala kategori 1-30 juzuk (lapan peserta).

Kenyataan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkata, majlis tersebut bertujuan memilih calon qari dan qariah serta hafiz dan hafizah yang terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2020M yang akan diadakan di Sabah pada 13-21 Februari ini.

“Majlis tersebut diadakan bagi memupuk generasi melibatkan pelbagai peringkat umur untuk mencintai al-Quran serta mahir dalam hafazan serta pembacaan al-Quran meliputi bidang suara, lagu, tajwid dan tarannum.

“JAWI dengan kerjasama pelbagai rakan strategik menganjurkan majlis ini bagi mendaulatkan al-Quran serta menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, menghayati nilai-nilai murni kitab suci ini,” katanya.

Johan qari dan qariah bakal membawa hadiah wang tunai RM5,000 serta pakej umrah bagi johan, wang tunai RM3,000 bagi tempat kedua dan wang tunai RM1,500 (ketiga).

Johan hafazan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, RM3,000 (kedua) dan RM1,500 (ketiga). Johan kategori 1-20 juzuk bakal menerima hadiah RM3,000 manakala johan kategori 1-10 juzuk (RM1,500).

Sepanjang tempoh tiga hari majlis ini berlangsung, acara-acara sampingan lain turut diadakan seperti Pameran Relau al-Quran (Pelupusan al-Quran), Pameran Kaligrafi Khat dan Kesenian Islam, perkhidmatan celik Tajwid, perkhidmatan klinik al-Fatihah, perkhidmatan kaunter bayaran trafik dan JPJ, kaunter zakat, kaunter Ar- Rahnu, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, perkhidmatan kempen derma darah, wakaf al-Quran, kuiz, jualan makanan, busana muslimah dan produk usahawan bumiputera.

Majlis Menghafaz Al-Quran akan berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 5 petang manakala Majlis Tilawah Al-Quran pula berlangsung pada pukul 9-11 malam di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan bermula 21 hingga 22 Januari ini.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Tahun 1441H/ 2020M dijadual disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh pada pukul 8.30 hingga 11.30 pagi, 23 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan.

Majlis ini terbuka kepada seluruh umat Islam khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Hadirlah beramai-ramai untuk menyemarakkan budaya membaca al-Quran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas