Artikel

Pengorbanan jihad suci yang dipalsukan

- Diterbit 23 Januari 2020 6:12 AM MYT

“Saya percaya bahawa pihak keselamatan negara kita sebenarnya telah banyak mengetahui rahsia dan taktik perjuangan ini di kawasan tertentu di daerah yang bergolak itu

SEJAK beberapa ketika terakhir ini, kita merasa agak terperanjat dan kebingungan apabila mendapati se­golongan anak muda kita sendiri telah berhijrah ke beberapa buah negara di Asia Barat untuk menyertai ‘perjuangan suci’ atau ‘gerakan jihad’ bagi menentang unsur kekufuran dan musuh Islam, mengikut yang mereka fahami daripada gerakan ‘pejuang’ di sana.

Sebenarnya pengaruh ini merupakan sesuatu yang amat samar-samar dan gerakan yang tidak jelas sebagai gerakan jihad untuk menentang musuh Islam dan menegakkan pemerintah khilafah seperti yang didakwakan di merata-merata tempat di dunia ini. Ia juga berselindung di sebalik nama-nama pejuang yang tidak dipastikan kesahihannya.

Walaupun terdapat sebahagian negara di Asia Barat kaya dengan hasil petrol, mereka tidak dapat membangunkan kestabilan negara kerana krisis kepimpinan, integriti, perpecahan ideologi mazhab dan perjuangan semangat kebangsaan yang diwarnai dengan ideologi ekstrem.

Malah penentangan sesetengah daripadanya terhadap Barat secara melulu, maka hal ini telah menjadikan negara itu menghadapi pertumbuhan golongan radikal dan ekstrem dalam kalangan rakyat mereka sendiri.

Dalam proses ketegangan dan krisis politik dan ekonomi, di antara semangat kebangsaan dan tekanan Israel serta kuasa Barat, khususnya Amerika Syarikat yang ingin merebutkan kekayaan mereka, maka timbul golongan agama dan kumpulan-kumpulan yang menggunakan agama untuk merebut kuasa politik dalam negara mereka sendiri.

Gerakan simbolik mereka atas nama Islam seperti jihad, perang suci dan lain-lainnya berjaya menarik perhatian orang-orang muda untuk menyertai mereka bagi melakukan perjuangan suci menentang ‘musuh-musuh’ Allah.

Mati syahid

Berperang menentang musuh Allah ini adalah merupakan perjuangan suci atas nama jihad yang sekiranya ada yang gugur maka mereka gugur sebagai pejuang yang ‘mati syahid’.

Maka dalam proses inilah, penyiasatan dan pihak keselamatan kita telah berjaya membongkar rahsia penglibatan anak-anak muda kita juga dalam perjuangan yang diaturkan dengan rapi oleh pihak yang tertentu itu.

Hal ini perlu dikaji dengan mendalam untuk kita memahami agenda perjuangan mereka yang terlalu kusut dan rumit itu.

Malah bagi kita yang telah pun menyaksikan penglibatan para tenaga muda Islam untuk turut serta berjuang di dalam medan peperangan yang berlaku di sana atas nama jihad dan syahid, maka kita hendaklah berusaha untuk memahami situasi ini dan bersungguh-sungguh memahami hakikat perjuangan ini dari perspektif Islam itu yang benar.

Saya percaya bahawa pihak keselamatan negara kita sebenarnya telah banyak mengetahui rahsia dan taktik perjuangan ini di kawasan yang tertentu di daerah yang bergolak itu.

Maka terdapat para peserta perjuangan itu yang telah dikenal pasti, selain menjejaki beberapa orang yang sebenarnya terkorban di dalam perjuangan tersebut.

Sungguhpun penerangan yang tertentu telah diberikan terutamanya tentang penyelewengan gerakan yang sesat itu, perjuangan dan kekerasan yang menyeleweng itu hendaklah diterangkan dengan menyeluruh.

Langkah itu perlu dilakukan terutamanya kepada anak muda yang sedang bersemangat dalam menghayati erti kebangkitan Islam dan perjuangan suci untuk menegakkan agama dan negara Islam menurut kefahaman yang mereka fahami dari anasir-anasir luar yang amat berpengaruh itu.

Tanpa keyakinan mereka terhadap propaganda luar tentang perjuangan ‘jihad’ itu, mana mungkin mereka akan sanggup mengharungi medan peperangan yang amat merbahaya di negara luar yang jauh itu.

Malah pengaruh ini telah menjadi luas sehingga terhadap para wanita Islam yang sanggup berkorban bersama-sama suami dan keluarga mereka.

Datuk Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas