Berita

12 pekerja asing dikompaun RM1,500 langgar SOP naik kenderaan

SERAMAI12 pekerja syarikat pembinaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook) Kredit foto: Sinar Harian SERAMAI12 pekerja syarikat pembinaan dikenakan kompaun masing-masing RM1,500. (Gambar kecil: Hoo Chang Hook) Kredit foto: Sinar Harian
- Diterbit 18 Mei 2021 6:09 AM MYT

SERAMAI 12 pekerja warga asing sebuah syarikat pembinaan di sini dikompaun masing-masing RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menaiki sebuah lori melebihi kapasiti dibenarkan, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kesemua warga Bangladesh dan India berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun serta seorang pemandu warga tempatan itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika melalui sekatan jalan raya di Kilometer 1 Jalan Rompin-Pasir Besar, Gemas di sini, kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurutnya, polis menahan lori berkenaan berikutan melebihi kapasiti iaitu 14 orang dalam sebuah kenderaan dan kesemua mereka telah dibawa oleh pemandu berusia 59 tahun itu bagi menjalankan kerja pemasangan sebuah menara di Kok Foh, Rompin.

“Bagaimanapun, pemandu berkenaan tidak dikompaun kerana hanya mengikut arahan majikan. Siasatan mendapati 12 pekerja asing itu mempunyai permit kerja yang sah manakala seorang lagi tidak mempunyai mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 10 Mei lepas, kerajaan mengehadkan hanya tiga orang boleh berada di dalam sesebuah kenderaan termasuk pemandunya bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Susulan itu, Hoo berkata seorang warga Bangladesh berusia 41 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Hoo berkata majikan pekerja terbabit juga akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kompaun akan dikeluarkan.

Katanya, majikan boleh dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan kenderaan sesuai sehingga tiada penjarakan fizikal dalam kenderaan dan melanggar peraturan di bawah Kesalahan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas