Berita

Polis Sabah tembak mati lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Beaufort

PESURUHJAYA Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata salah seorang yang terbunuh ialah pemimpin kumpulan tersebut dan menjadi buruan penguatkuasa Filipina. Kredit foto: Sabah Post PESURUHJAYA Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata salah seorang yang terbunuh ialah pemimpin kumpulan tersebut dan menjadi buruan penguatkuasa Filipina. Kredit foto: Sabah Post
- Diterbit 18 Mei 2021 6:28 AM MYT

POLIS Sabah menembak mati lima anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dalam operasi khas, yang dijalankan di sebuah kawasan setinggan di paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort pada pukul 11.27 pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang daripada suspek itu adalah ‘sub leader’ kumpulan pengganas tersebut dikenali sebagai Mabar Binda, yang dinamakan dalam senarai dikehendaki oleh kerajaan Filipina.

Beliau berkata, tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti namanya, dan semuanya dianggarkan berusia antara 20an hingga 40an.

“Dengan tumpasnya lima anggota kumpulan ini, polis yakin telah berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah, dan yang telah melakukan ba’iah dengan kumpulan militan Daesh.

“Polis juga mengesyaki masih lagi ada saki baki dan tali barut (kumpulan itu) yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah dan kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas