Berita

Skuad tenpin boling WP kekalkan prestasi

Pemain tenpin boling Wilayah Persekutuan. Gambar ihsan Alisha
- Diterbit 30 Mac 2020 10:02 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penangguhan temasya Sukan Malaysia Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor yang dijadual pada Julai ini ke satu tarikh akan ditetapkan kemudian berikutan ancaman wabak Covid-19 disambut baik kontinjen mengambil bahagian.

Pasukan tenpin boling Wilayah Persekutuan menjelaskan keputusan diambil pihak berkaitan itu wajar demi kepentingan semua pihak dalam memutuskan rangkaian pandemik virus berkenaan di negara ini.

“Saya tidak kecewa dengan penangguhan SUKMA kerana ia untuk kesihatan semua. Alhamdulillah, kita patut bersyukur.

“Tetapi apa yang merisaukan keputusan ini sedikit sebanyak akan menjejaskan had umur atlet (bawah 21 tahun).

“Jika ikutkan had umur, lima atlet ( 2 lelaki, 3 perempuan) yang dalam senarai panjang akan terjejas,” kata Ketua jurulatih pasukan, Alisha Iman Cheong Abdullah kepada Wilayahku.

ALISHA IMAN CHEONG

Mengulas lanjut, Alisha berkata, bagi mengekalkan prestasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain mengadakan latihan sendiri di rumah setiap hari selain perjumpaan secara alam maya bagi memastikan mental serta fokus mereka tidak terjejas.

Pasukan tenpin boling Wilayah Persekutuan sebelum ini mengakui optimis mampu meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas daripada sembilan acara dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Johor meskipun tiada kelibat pemain kebangsaan diturunkan kali ini.

Acara yang disasarkan adalah berpasukan lelaki dan wanita, sekali gus mampu mengatasi pencapaian satu emas yang dimenangi menerusi trio wanita di SUKMA Perak pada 2018.

Untuk temasya di Johor, pasukan kendalian Alisha dijadual disertai 10 atlet iaitu lima lelaki dan lima wanita daripada 16 pemain yang mengikuti latihan.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan SUKMA Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai 2020 ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan olehnya menerusi sidang video.

Jelasnya, tarikh baharu temasya dwi tahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas