Berita

91 kes pulih Covid-19, rekod tertinggi setakat ini

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 30 Mac 2020 10:28 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah pesakit positif Covid-19 yang pulih dan dibenarkan keluar hospital dilihat meningkat dengan 91 kes dilaporkan hari ini menjadikan 479 pesakit pulih sepenuhnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit pulih dilaporkan hari ini adalah yang tertingi sepanjang kes direkodkan.

Katanya, pesakit yang pulih juga terdiri daripada peserta tabligh Masjid Jamek Seri Petaling, 24 Februari lalu.

“Hari ini, 156 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan mencapai 2,626 kes.

“Seramai 94 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 62 darinya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan peningkatan kes kematian dengan tiga terbaru termasuk yang diumumkan melalui Facebook miliknya malam tadi.

“Kes ke-35 merupakan seorang wanita berusia 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dan dia disahkan meninggal dunia 4 petang semalam.

“Kes ke-36 dan 37, masing-masing berusia 46 dan 47 tahun disahkan meninggal dunia pagi ini pada jam 8.10 pagi dan 9.02 pagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas