Berita

100 penghantar makanan terima petrol percuma

MUHAMAD Syazmir (kanan) mengisi minyak petrol ke dalam tangki motosikal seorang penerima pada Program Isi Minyak Percuma, Sabtu lalu.
- Diterbit 21 Disember 2020 10:47 AM MYT

MENYEDARI kesukaran yang dihadapi masyarakat berpendapatan rendah khususnya penghantar makanan, Persatuan Belia Bakti Putrajaya (PBBP) menganjurkan Program Isi Minyak Percuma di Petronas Presint 16, Putrajaya, Sabtu lalu.

Program yang diadakan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Putrajaya serta Kelab Rakan Muda Putrajaya itu memberi agihan petrol kepada 100 penunggang motosikal terlibat.

Pengerusi PBBP, Muhamad Syazmir Ahmad Najib berkata, inisiatif yang julung kali diadakan itu akan dianjurkan lagi pada masa hadapan.

“Kita sedaya upaya ingin membantu dan menyumbang bakti kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Diharapkan dengan usaha ini, dapat meringankan beban mereka yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, program dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Kuala Lumpur (JBSWPKL), Asmori Sa’ahari serta Penolong Pengarah Bahagian Rakan Muda JBSWPKL, Anuar Hamid. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas