Berita

Elizabeth Tan teruja kerana gusti

|ELIZABETH Tan dan Syafiq Naswip ketika sesi soal jawab bersama media|BARISAN pelakon filem Gila Gusti bersama orang-orang penting di belakang tabir.
- Diterbit 21 Disember 2020 11:56 PM MYT

NAMPAK saja luaran lembut, ramai yang tidak tahu penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan minat mendalami seni pertahanan diri.

Terbaharu, Elizabeth Tan atau lebih mesra dipanggil Lizzie bakal berlakon dalam filem aksi Gila Gusti.

Walaupun tidak banyak babak dalam filem tersebut, Lizzie tetap rasa teruja kerana filem tersebut mempunyai elemen pertahanan diri.

ELIZABETH Tan dan Syafiq Naswip ketika sesi soal jawab bersama media

Lizzie bawa watak sebagai ”announcer’ dalam gelanggang gusti. 

“Saya bukan heroin dalam filem ini kerana ia lebih kepada watak penggusti. Saya terima watak ini kerana saya suka berlakon.

“Lagipun saya memang minat ‘combat sports’. Saya minat UFC (Ultimate Fighting Championship) dan MMA (Mixed Martial Arts). Saya masih lagi ke kelas MMA hampir setiap minggu.

“Ia kelas secara peribadi dan saya boleh sesuaikan masa ikut kelapangan. Berkenaan gusti, ia pengalaman pertama dan bagi saya ia sesuatu yang menghiburkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pembukaan APAC Wrestling dan pelancaran filem Gila Gusti di APAC Wrestling, Kota Damansara.

BARISAN pelakon filem Gila Gusti bersama orang-orang penting di belakang tabir.

Lizzie juga mengaku begitu teruja mahu memulakan penggambaran filem ini pada Januari depan bersama Syafie Naswip, Aisar Khaleed, Arley gusti Nor Phoenix Diana, pengasas gusti Malaysia, Ayez Shaukat Fonseka dan ramai lagi. 

Filem terbitan Lomo Pictures Sdn Bhd serta rakan penaja rasmi Quick Sent dan Quin Media itu diarahkan oleh Silver Chung dan  akan memulakan penggambaran pada awal Januari 2021.

Lizzie juga menjelaskan dia menerima tawaran ini kerana tidak bercanggah dengan jadual kerjaya dan keterujaannya terhadap gusti.

“Saya tak boleh ambil semua tawaran kerana takut bertembung dengan projek lain. Saya akan minta skrip dulu dan kalau okay dan saya sukakan wataknya, baru saya terima.

“Untuk tawaran ini, apabila dengar berkaitan gusti saya terus terima kerana saya suka pada ‘fighting’,” katanya yang popular dengan lagu Semua Sudah Police Entry, Knock Knock dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas