Advertorial

Elak jenayah siber dan kandungan jelik

- Diterbit 9 Mei 2024 2:50 PM MYT

BOLEH dikatakan penggunaan media sosial pada hari ini sudah pun mencapai tahap maksimum memandangkan setiap individu mempunyai lebih daripada satu akaun media sosial.

Teknologi terkini yang telah merevolusikan cara manusia berhubung, berkongsi maklumat dan berkenalan menggunakan media sosial seharusnya perlu didatangkan dengan tanggungjawab yang dapat menyumbang kepada keharmonian masyarakat dan negara.

Meskipun ia memudahkan jaringan perhubungan di antara wilayah, bandar dan desa, terdapat ancaman-ancaman tertentu yang menyebabkan media sosial ini menjadi platform menyebarkan dakyah-dakyah tertentu yang berkepuyaan merosakkan negara sekiranya tidak dibendung.

Sudah pasti ia mempunyai sisi gelap jika sekiranya tidak dikawal ia juga boleh memberikan kesan negatif yang ketara antara individu dan masyarakat secara keseluruhan.

Jika dilihat daripada beberapa isu mutakhir ini, pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk memanggil individu terlibat untuk merakam percakapan sehingga diheret ke mahkamah bagi berdepan pertuduhan yang menyentuh perihal 3R (agama, kaum, raja).

MAHU JADI JAGUH SEBAR BERITA

PELAYAR media sosial juga didapati gemar berkongsi gambar atau video kepada kumpulan WhatsApp mengenai isu-isu yang menggemparkan negara seperti yang berlaku dalam insiden dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas semasa latihan di Lumut baru-baru ini.

Hal ini disebabkan mereka terlalu teruja dengan berita berkenaan dan mahu menjadi ‘jaguh’ dengan menyebarkannya untuk tontonan umum.

Sedar atau tidak, perbuatan menyebarkan berita yang mengancam, menyakitkan hati atau mengganggu orang lain adalah satu perbuatan yang dilarang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Penyebaran maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan adalah masalah utama di media sosial. Ia terjadi ekoran daripada perkongsian artikel atau berita yang tidak disahkan dan yang menjurus kepada mempromosikan teori konspirasi.

Perkongsian dan penyebaran kandungan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan dan ketidakpercayaan khususnya kepada pihak berkuasa. Ia diburukkan lagi dengan sebilangan individu yang mudah mempercayai tanpa menyemak silang fakta khusus melibatkan topik sensitif yang berlawanan daripada situasi dunia sebenar.

Dalam masa sama, pengguna media sosial juga berkeupayaan menjadi buli siber akibat perselisihan pendapat mengenai ideologi politik, perbezaan amalan ibadah dan pelbagai isu yang membelenggu masyarakat.

Sungguhpun hanya dihubungkan menerusi dalam talian, sesetengah pengguna terdorong untuk terlibat dalam tingkah laku yang penuh kebencian termasuklah mengeluarkan kata-kata kesat.

Serangan yang disasarkan itu berupa komen yang menghina serta penyebaran khabar angin yang berpotensi menimbulkan tekanan emosi serta membawa kepada kemurungan dan kebimbangan kepada mangsa.

Biarpun media sosial dijadikan sebagai platform untuk berkongsi sesuatu perkara atau aktiviti, namun jika individu itu terdorong untuk berkongsi kandungan peribadi yang berlebihan, ia bukan sahaja boleh mendedahkan mereka kepada kemungkinan pelanggaran privasi bahkan juga mengundang kesan negatif dalam tatapan profesional atau sosial.

Malah ia juga mendedahkan mereka kepada perlakuan jenayah dan berisiko terhadap keselamatan. Misalnya seorang usahawan di Kelantan yang mendedahkan gumpalan wang dan barangan emas perhiasan setiap kali melakukan penstriman langsung di media sosial menjadi mangsa jenayah dan dirompak selain dicederakan. Maka disebabkan perkara itu, wajar bagi orang ramai berhati-hati ketika menggunakan media sosial.

KESAN HANTARAN JELIK

TIDAK dinafikan kesan media sosial ini mendatangkan keburukan jangka masa panjang sekiranya tidak ditangani dengan betul malah berisiko kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan.

Menerusi penggunaan yang tidak teratur dan berlebihan, ia berisiko menghakis kepercayaan kerana percambahan maklumat yang salah dan kandungan yang melunturkan kepercayaan terhadap institusi, media, dan juga hubungan peribadi. Orang ramai sukar untuk membezakan fakta daripada fiksyen sekali gus melahirkan sikap sinis terhadap sesuatu isu dan memisahkan antara kumpulan disebabkan kecelaruan ideologi yang ditanam.

Tidak dinafikan, algoritma media sosial cenderung untuk mencipta ruang gema, di mana pengguna terdedah kepada kandungan yang mengesahkan kepercayaan sedia ada mereka. Ia jelas telah memburukkan lagi perpecahan masyarakat dan menghalang dialog yang membina mengenai isu-isu penting untuk pembangunan negara. Kesan polarisasi ini semakin menebal dari sehari ke sehari dan ini membimbangkan.

Mangsa buli siber yang dizahirkan oleh ucapan kebencian dan gambaran kehidupan yang tidak realistik boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental. Ia secara tidak langsung membawa kepada kebimbangan, kemurungan dan perasaan terasing.

Amat menyedihkan, golongan muda di negara kita sudah terdedah kepada kesan ini malah pada tahun 2020, satu kes bunuh diri berlaku di Pulau Pinang melibatkan seorang gadis berusia 20 tahun bertindak luar dugaan dengan menggantung dirinya kerana tidak tahan dibuli dalam laman sosial.

Sebagai individu yang terdedah kepada kecanggihan teknologi dan percambahan aplikasi media sosial, orang ramai khususnya generasi muda harus meluangkan sedikit masa untuk memikirkan dengan lebih mendalam dan mempertimbangkan mengenai potensi kesan siaran atau hantaran anda di media sosial. Tanyalah diri sendiri sama ada ia wajar atau tidak selain adakah ia merupakan hantaran yang positif dan membina negara?

Jika tidak, hentikan sahaja dan carilah perkara yang lebih bermanfaat supaya anda tidak menjadi individu yang menjadi penghantar kandungan jelik yang menyalahi undang-undang negara.

BERADAB KETIKA GUNA MEDIA SOSIAL

Dalam menghadapi cabaran ketika melayari Internet dan media sosial, setiap individu perlu mengutamakan kepentingan adab, akhlak dan tanggungjawab dalam membentuk jati diri yang lebih matang dan peka terhadap sekeliling.

Bagi meningkatkan kredibiliti ketika menggunakan media sosial, setiap individu disarankan untuk menyemak fakta sebelum melakukan hantaran dan komen serta dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang belum dapat disahkan bagi mengelakkan implikasi negatif. Gunakan sumber yang boleh dipercayai dan berhati-hati dengan tajuk berita sensasi kerana ia mendatangkan risiko malah boleh diheret ke mahkamah dan dihukum sekiranya terbukti hantaran dan komen yang dimuat  anti itu berbaur fitnah dan hasutan.

Pelayar media sosial perlu mempunyai nilai empati yang tinggi kerana kita tidak tahu apa yang telah dilalui oleh individu yang menjadi subjek terhadap kandungan berita tersebut. Oleh itu bertepatan dengan nilai berkenaan, kita wajar melayan orang lain dalam talian dengan rasa hormat yang sama seperti yang dilakukan secara peribadi.

Sebagai pengguna media sosial, setiap individu dinasihatkan agar mengutamakan kehidupan di sebalik skrin komputer mahupun telefon pintar anda. Jangan terperangkap dalam permainan perbandingan yang menjurus kepada gaya hidup, ideologi mahupun kecenderungan seseorang. Media sosial bukanlah kehidupan sebenar. Fokus kepada usaha memupuk hubungan dan pengalaman sebenar dalam dunia luar talian.

Media sosial boleh menjadi alat yang berkuasa untuk berkomunikasi dan merintis kepada perubahan positif. Dengan menggunakan pendekatan yang lebih bertanggungjawab untuk menyiarkan kandungan positif, kita semua boleh menyumbang kepada persekitaran dalam talian yang lebih sihat dan membina. Marilah kita beralih daripada mentaliti ‘kuno’ dan berusaha untuk mencipta ruang digital yang kaya dengan nilai positif dengan memupuk pemahaman, hormat-menghormati dan harmoni.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas