Berita

Zulkapli dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu

- Diterbit 27 Februari 2023 3:00 AM MYT

TIMBALAN Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Zulkapli Mohamad dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, sekali gus mengisi jawatan itu yang kosong sejak Disember lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melalui kenyataan media memaklumkan, pelantikan Zulkapli yang sudah berkhidmat selama 31 tahun dalam perkhidmatan awam mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan ia berkuat kuasa hari ini.

Zulkapli, 58 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Ijazah Sarjana Pembangunan Antarabangsa dari University of Japan dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi (Kewangan Antarabangsa) dari Universiti Meiji di Jepun.

Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 1 Disember 1992.

Mohd Zuki berkata, pelantikan Zulkapli berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pembangunan modal insan.

“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di JPA, selain Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di SWCorp dan Setiausaha Persekutuan Sabah.

“Saya yakin dengan pengetahuan dan kredibiliti dimiliki, beliau mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANi,” katanya.

Jawatan KPPA kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember tahun lalu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas