Berita

Johan Mahmood dilantik sebagai KSU Perbendaharaan MOF

- Diterbit 27 Februari 2023 2:58 AM MYT

TIMBALAN Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman perlantikan beliau dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam kenyataannya, Zuki berkata, perlantikan Johan dibuat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perlantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan dalam bidang ekonomi, kewangan dan dasar.

“Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah serta mendokong misi dan visi dalam meneruskan kecemerlangan pengurusan kewangan dan ekonomi negara yang cekap, telus dan berkesan, selari hasrat Malaysia MADANI,” katanya.

Johan, 50, adalah lulusan kelas pertama dari University of Cambridge serta Akauntan Bertauliah dari Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tan Corporation Malaysia Berhad (TALENT CORP); Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Belanjawan MOF. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas