Utama

Sukaneka Perpaduan meriahkan Program Santai @ Kuala Lumpur 2023

|||||
- Diterbit 27 Februari 2023 2:10 PM MYT

SUKAN tradisional yang mengembalikan nostalgia dengan permainan zaman dahulu seperti boling kelapa dan terompah gergasi mampu mengeratkan ukhuwah antara peserta warga Kuala Lumpur berlangsung dalam suasana meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan 10 acara sukan tradisional melibatkan dua kategori iaitu Terbuka dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023.

Dalam waktu yang sama, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Hj. Azmi Abdul Hamid turut merasmikan Program Santai @ Kuala Lumpur Me & My City yang berlangsung selama dua hari mulai 25 hingga 26 Februari 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Bukan saja menarik perhatian kanak-kanak, tetapi juga golongan dewasa yang tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan yang diadakan.

Acara yang menarik perhatian antaranya kaki hantu dan tapak gajah.

Selain itu, permainan tradisional juga dapat membina sikap sabar dan kerjasama dalam kalangan pemainnya

Permainan lain yang dipertandingkan ialah lari dalam guni, lari batu bata, menara kembar, pancing botol dan kelereng.

PROGRAM Santai @ Kuala Lumpur Me & My City merapatkan hubungan dalam kalangan rakyat.

Program dimulakan dengan lari dalam guni dan tarik upih. Pasukan yang mendapat markah tertinggi dinobatkan sebagai juara.

Banyak kenangan manis dan pahit yang terjadi pada peserta sukan perpaduan. Gelagat dan aksi mereka berjaya menghidup dan menceriakan suasana di lapangan pertandingan.

Hadiah disampaikan oleh Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, DBKL, Yazid Rahim dan Presiden, Pertubuhan kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, Jasmi Shafei.

Bagi juara keseluruhan Sukaneka Perpaduan kategori terbuka, pasukan Cats Hunter muncul juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,200 yang memungut keseluruhan 51 mata, manakala pasukan Kewer Kewer mengumpul mata sebanyak 25, mendapat tempat kedua menerima wang tunai RM800. Pemenang ketiga Asal Boleh Je mengumpul mata 23, mendapat RM500 dan seterusnya keempat RM300 dimenangi oleh pasukan Chempaka Sari yang megumpul mata sebanyak 22 mata.

Rata-rata peserta berharap acara ini dapat di teruskan lagi demi menaikkan semula acara-cara sukan rakyat yang jauh ketinggalan dan mereka mengucapkan terima kasih khasnya kepada DBKL yang menyediakan platfrom acara ini untuk warga kuala lumpur terutamanya golongan kurang upaya (OKU).

Selain itu melalui acara ini dapat meningkatkan lagi kemahiran dalam kerja berpasukan, merapatkan lagi hubungan di antara semua pihak dan sifat tanggungjawab setiap daripada individu dalam melaksanakan sesuatu acara.

Menurut mereka lagi, bukan saja bersukan, ia juga menjadi platform membina perpaduan, setiakawan, keharmonian, sikap bertolak-ansur dan rasa hormat antara satu dengan yang lain walaupun berbilang kaum.

“Selain terus memperjuangkan permainan tradisional, program ini turut memberi ruang dan peluang kepada masyarakat khususnya di Kuala Lumpur merasai kembali keseronokan bermain permainan tradisional. Secara tidak langsung kita berada pada landasan yang betul untuk memartabatkan kembali permainan tradisional kepada masyarakat.

“Inilah keunikan permainan di Malaysia, dapat menyatukan kita semua menjadi sebuah Keluarga Malaysia,” kata mereka lagi.

Mereka yang berminat untuk perkhidmatan ini boleh hubungi Kelab Krisdal, 012-2846811. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas