Berita

Yayasan Petronas sasar bantu 3,400 keluarga B40

UBAL salah seorang komuniti Orang Asli di Baling, Kedah kini miliki gerai burger sendiri yang diusahakan berdekatan rumahnya hasil bantuan Yayasan Petronas.
- Diterbit 21 Ogos 2020 12:37 AM MYT

YAYASAN Petronas mensasarkan sejumlah 3,400 keluarga dalam golongan B40 akan dibantu hasil pelaksanaan Program Memapan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) di beberapa daerah terpilih di seluruh negara.

Insiatif Sentuhan Harapan yang diperkenalkan itu membolehkan golongan B40 serta keluarga berpendapatan rendah di daerah sekitar Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah, Sarawak selain Selangor dan Terengganu dibantu secara berfasa meliputi tempoh 24 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, pemilihan lokasi mengambil kira keperluan membantu mengatasi kemiskinan penduduk dengan menyediakan keperluan asas seperti air, elektrik selain makanan dan memberi latihan kemahiran untuk meningkatkan lagi taraf hidup golongan sasar rakyat, B40.

Katanya, Program MEKAR dilancar berperingkat dalam tempoh dua tahun itu adalah antara usaha Yayasan PETRONAS memajukan sosioekonomi sebagai hak inklusif semua rakyat Malaysia yang seharusnya mendapat kualiti hidup lebih baik.

“Usaha kurangkan kadar kemiskinan dan tahap pengangguran rakyat perlukan komitmen panjang dan kami mengambil kesempatan melabur dalam sumber manusia sekurang-kurangnya dua tahun bagi memastikan ekonomi tumbuh berterusan dan membawa limpahan kepada kalangan rakyat di daerah-daerah yang disasarkan.

Yayasan Petronas melalui Program MEKAR turut menyasarkan mampu mewujudkan masyarakat adil sekali gus merapatkan jurang pendapatan di antara penduduk di bandar dengan luar bandar memandangkan Malaysia sedang bergerak maju ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Selain itu, Yayasan itu telah bekerjasama dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk memulakan empowerNCER – Program MEKAR di Kedah mulai November 2019 lalu.

Sehingga kini, kata Lita inisiatif itu menyaksikan penerima manfaat disasarkan di negeri tersebut mencatat peningkatan pendapatan yang ketara, apabila ada dalam kalangan mereka memperoleh hasil 10 kali lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Bagi sorang penerima manfaat Norhazima Abdul Jalil, dari Pendang berkata, sebelum menyertai latihan kemahiran dan keusahawanan ditawarkan melalui program itu, beliau hanya meraih kira-kira RM500 sebulan dengan menjual makanan, selain menolong suaminya bekerja di ladang getah.

“Saya ambil keputusan sertai latihan kemahiran dan keusahawanan ditawarkan empowerNCER – Program MEKAR yang dibiaya Yayasan Petronas.

“Hari ini, saya miliki sebuah gerai jualan pelbagai jenis mee dan berjaya memperoleh pendapatan lebih 12 kali ganda daripada sebelumnya. Selain itu saya juga mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga di samping membantu wanita lain dalam komuniti saya,” katanya.

Seorang lagi penerima manfaat, Ubal Kulim dari Baling yang sebelumnya tidak bekerja, kini turut meraih manfaat daripada latihan kemahiran dan keusahawanan ditawarkan oleh empowerNCER – Program MEKAR.

Katanya, dia bukan sahaja mengusahakan gerai burger dengan hasil bulanannya RM1,500 iaitu empat kali ganda berbanding sebelumnya malah kini mampu menyara seluruh ahli keluarganya.

Yayasan Petronas melalui Program MEKAR turut berhasrat supaya kehidupan rakyat sejahtera dan sihat, selain mempromosi pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan inklusif serta lestari untuk rakyat Malaysia, sejajar dengan mandat United Nations’ Sustainable Development Goals (SDGs) dan juga agenda PETRONAS’ Sustainability. – SYAHIDI BAKAR -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas