Berita

Ubah Nasib, Elak Sentuh Perempuan – Hijrah IZZUE ISLAM

Awin banyak membantu dalam penghijrahannya.|IZZUE Islam bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera dalam telefilem Luluh sempena Maal Hijrah
- Diterbit 20 Ogos 2020 7:13 AM MYT

SEMPENA sambutan Maal Hijrah hari ini, sudah pasti kita akan mengenang kembali penghijrahan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah demi syiar Islam.

Hijrah juga sinonim dengan perubahan atau usaha seseorang untuk menjadi insan lebih baik. 

Bagi pelakon popular Izzue Islam, makna hijrah ini sangat dekat dalam dirinya yang melakukan banyak perubahan demi kehidupan yang lebih baik. 

“Menyentuh tentang hijrah, sebenarnya setiap orang ada kisah dan pengalaman sendiri.

“Dulu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berhijrah dari Kelantan ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib dalam bidang seni.

“Sebelum jadi pelakon, saya tinggal bersama hampir 20 orang dalam sebuah rumah sewa dan tidur berbantalkan lengan.

“Antara pekerjaan saya ketika itu adalah sebagai sebagai pembantu di lokasi penggambaran. Kemudian saya ditawarkan jadi pelakon pembantu dan sekarang Alhamdulillah nama saya semakin dikenali.

“Semua ini tidak akan tercapai tanpa semangat yang kuat untuk berhijrah dalam memperbaiki kekurangan hidup. 

“Dengan izin Allah, usaha saya berbaloi  bukan sahaja dalam kerjaya, malah saya boleh membahagiakan keluarga dan isteri,” luahnya kepada Wilayahku.

ISTERI Izzue, Awin banyak membantu dalam penghijrahannya.

Selain itu, Izzue juga mengaku dirinya mengambil keputusan untuk tidak bersentuhan dengan mana-mana perempuan bukan muhrim.

” Ini antara hijrah besar yang saya  buat dalam kerjaya apabila menetapkan untuk tidak bersetuhan dengan bukan muhrim dalam lakonan mahupun di luar lokasi.

“Mungkin pada mulanya ada yang kurang senang dengan prinsip itu, namun saya sudah buktikan kualiti lakonan tidak terjejas walaupun tanpa adegan bersentuhan.

IZZUE Islam bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera dalam telefilem Luluh sempena Maal Hijrah

” Rasanya sekarang banyak pihak sudah faham dan lebih terbuka mengenai hal ini. Banyak drama sekarang boleh mencapai rating tinggi tanpa adegan bersentuhan bersama yang bukan muhrim,” katanya yang akan muncul dalam telefilem sempena awal Muharam berjudul Luluh siaran TV3 pada 22 Ogos ini.

Pelakon lain yang turut terlibat adalah Aeril Zafrel, Ummi Nazeera dan Nad Zainal. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas