Agama

XFOX taja Madrasah An-Nuur cipta rekod Malaysia tulis dua juta kalimah Allah

|||NOOR Effendi menunjukkan hasil lukisan 2 juta tulisan kalimah Allah.
- Diterbit 14 Jun 2023 11:22 PM MYT

MADRASAH An-Nuur (MAN) berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi projek Kembara 2 Juta Kalimah Allah.

Ini terbukti apabila pelajar dan gurunya berjaya menulis dua juta kalimah Allah pada 218 kertas lukisan.

Pengasas dan pengetua Madrasah An-Nuur (MAN), Noor Effendi Hamid berkata, projek dikenali Kembara Dua Juta Kalimah Allah anjuran XFOX itu telah disiapkan pada kertas lukisan dengan panjang berukuran 177 meter dan 0.58 meter lebar.

“Sebelum ini, kami telah mencipta rekod pertama di Universiti Sultan Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu pada 2015 apabila sebanyak 1.3 juta tulisan kalimah Allah dihasilkan dan kali ini sebanyak dua juta.

“Seramai 77 pelajar lelaki juga 56 perempuan terbabit dalam projek ini selain tenaga pengajar mereka dan lebih istimewa apabila Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad turut sama menulis kalimah yang ke dua juta,” katanya pada majlis penganugerah sijil oleh MBOR baru-baru ini.

MADRASAH An-Nuur (MAN) berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi projek Kembara 2 Juta Kalimah Allah.

Apa yang menarik, ketika tulisan kalimah itu dibuat, pelajar serta guru dalam keadaan berwuduk sambil mereka mendengar alunan zikir selain pewarna tulis dicampur dengan air Zam Zam.

Noor Effendi menambah, secara puratanya, setiap pelajar dan tenaga pengajar menulis 15,000 kalimah Allah.

Menurut beliau, setiap helai kertas lukisan pula mempunyai sekurang-kurangnya 9,500 kalimah yang sama.

NOOR Effendi (Kanan) menunjukkan hasil lukisan 2 juta tulisan kalimah Allah.

Kertas tulisan itu turut dijual di mana hasil jualan akan digunakan untuk pembangunan madrasah sebagai satu cara pihaknya menjana pendapatan tanpa meminta derma.

“Sebanyak 15 keping terjual pada hari penganugerahan sijil oleh MBOR di mana pembeli terdiri daripada orang perseorangan, bapa pelajar dan syarikat korporat.

“Baru-baru ini pun, kita juga menerima lawatan daripada usahawan Arab Saudi yang menyatakan hasrat membeli lebih kurang 20 keping kertas lukisan untuk dijual di Riyadh.

“Setiap helai kertas lukisan lengkap dengan nombor siri MBOR dijual dengan harga bermula RM2,000 dan kita sasarkan jualan sebanyak RM436,000,” katanya.

Noor Effendi turut memberitahu, Kembara Dua Juta Kalimah Allah diadakan secara kebetulan dengan isu penggunaan kalimah Allah yang kembali menjadi kontroversi baru-baru ini.

Namun, katanya, pihaknya menzahirkan ketegasan dalam isu penggunaan Allah tanpa melibatkan mana-mana sentimen politik.

Sementara itu, Kembara 2 Juta Kalimah Allah telah ditaja oleh syarikat Xfox Market Bhd. yang bertapak Bandar Pinggiran Subang. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas