Berita

Wilayah Bebas Berniaga : Kenyataan Teresa jatuhkan standard ahli parlimen

TAN SRI TPr ANNUAR MUSA
- Diterbit 14 November 2020 5:38 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa hari ini mengecam kenyatan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang mendakwa bahawa inisiatif “Wilayah Persekutuan Bebas Berniaga” akan mengubah menjadi Ketereh”.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyifatkan bahawa kenyataan Kok itu tidak tepat serta menjatuhkan standard sebagai Ahli Parlimen.

“Ketika seorang ahli parlimen bercakap seperti itu di pada sidang perbahasan parlimen, ia telah menjatuhkan standard seorang ahli parlimen.

“Dia bertanya apakah inisiatif yang diperkenalkan ini bermaksud akan ada orang boleh berniaga di Jalan Parlimen.

“Ini tidak benar kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai garis panduan yang mesti dipatuhi sebelum lesen dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 76 mangsa banjir kilat di Kampung Baru disini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah; Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan; Zaizalnizam Zainun dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kampong Bharu (PKB), Zulkurnain Hassan.

Jelas Annuar, inisiatif yang diperkenalkan KWP tidak bermaksud undang-undang tidak akan dipatuhi sebaliknya aturan hukum masih tetap dilaksanakan.

“Pelbagai undang-undang seperti penjaja, kesihatan, mengenai perancangan tetap akan dikuatkuasakan.

“Bukan bermaksud apabila saya sebutkan semua boleh berniaga, maka undang-undang yang ada gantung dahulu, ia tidak begitu,” katanya.

Annuar sebelum ini mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama enam bulan yang akan bermula esok (15 November).

Dalam pada itu, Annuar menyahut seruan sembilan ahli parlimen Kuala Lumpur yang menuntut agar diadakan pertemuan untuk membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan bandar.

“Mereka boleh datang bila-bila masa. Mereka boleh datang ke rumah saya, pejabat saya, atau di mana sahaja yang sesuai untuk mereka dan tidak perlu bertemu secara berkumpulan.

“Mereka tidak perlu mengeluarkan kenyataan media untuk memohon sebarang pertemuan.

“Bagaimanapun, mereka harus memahami bahawa kita berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat, jadi kita harus menyesuaikan diri dengan keadaan baru dalam melakukan sesuatu.

“Pada masa ini saya melakukan sebahagian besar perjumpaan melalui persidangan video,” katanya.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (12 Nov) lalu, sembilan ahli parlimen pembangkang yang terdiri daripada wakil DAP dan PKR mendakwa telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu dengan menteri tersebut.

Sebaliknya, Annuar menasihatkan mereka agar menggunakan sepenuhnya sesi perbincangan parlimen dengan membangkitkan dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

“Itu adalah masa yang paling sesuai, kerana semua yang dikatakan akan direkodkan di Hansard dan saya akan memberi respons,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas