Berita

Dikecam Kerana Vape, “Saya Minta Maaf, Tiada Niat Promosi” – SHAHEIZY SAM

|GAMBAR yang dimuatnaik dalam Facebook Public Health Malaysia (PHM)
- Diterbit 14 November 2020 5:35 AM MYT

GARA-gara gantung vape di leher sewaktu ditugaskan sebagai penyampai anugerah ABPBH33 malam tadi, pelakon popular Shaheizy Sam mohon maaf secara terbuka di laman instagramnya.

Menerusi video berdurasi 1.37 minit, Sam mengaku sedar ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan tidak sengajanya itu. 

“Saya nak mintak maaf, beribu-ribu ampun terutama kepada pihak ABPBH 33 dan TV3, atas kecuaian dan kelalaian diri saya. Memang diri saya yang salah.

“Terus terang saya cakap, dalam keadaan nervous malam tadi, di backstage yang tiada orang, saya hanya fokus buat yang terbaik untuk program ABPBH sampai saya terlupa apa yang ada pada diri saya dan di bawa ke pentas,” katanya yang mengaku tiada niat untuk mempromosi vape di pentas berprestij itu.

Menurut Sam, vape itu adalah keperluan yang digunakannya selalu sehingga lupa untuk menanggalkannya ketika dijemput ke pentas menyampaikan anugerah.

“Saya tiada niat untuk promosi, semuanya atas kecuaian saya. Saya minta maaf sangat-sangat.

“Apa yang tergantung ini (sambil menunjukkan vape) adalah keperluan saya dah lebih setahun. Ini memang kegunaan saya sendiri. 

“Bila habis bateri, saya ambil satu lagi. Habis lagi bateri, saya ambil lagi. Jadi saya memang perlukan banyak dan Tak ada niat nak promosi. 

“Saya minta maaf sekali lagi, kecuaian saya mengundang sesuatu yang tak elok kepada orang lain terutamanya ABPBH. Insya Allah perkara ini takkan berulang lagi,” ujarnya pelakon filem Polis EVO itu lagi. 

Terdahulu, Sam mencetuskan kontroversi apabila laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) mengeluarkan pendapat kurang senang dengan  tindakan Sam menggantung vape ketika program tersebut disiarkan secara langsung dari Axiata Arena. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas