Berita

Tukar i-Sinar kepada modal niaga, pengeluar perlu bijaksana

||ABU SOFIAN
- Diterbit 13 Februari 2021 7:17 AM MYT

DALAM tempoh 36 jam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baharu yang akan berkuatkuasa 1 Mac ini diumumkan, Kementerian Kewangan pula memaklumkan syarat pengeluaran iSinar dimansuhkan.

Dengan pemakluman itu, pemohon terlibat berpeluang menikmati sehingga RM10,000 atau 10 peratus wang caruman KWSP daripada Akaun 1 yang sebelum ini, pengeluarannya hanya dibenarkan selepas umur persaraan.

Walaupun bertujuan membantu individu terjejas pendapatan, namun ia akan memberi kesan buruk kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan atau ‘berhenti’ mencarum.

Malah, kebarangkalian kelompok miskin dan asnaf bertambah dalam tempoh 10 tahun lagi adalah tinggi berikutan wang persaraan itu sudah digunakan terlebih dahulu.

Justeru, pakar ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob menggesa supaya pengeluar daripada kategori B40 memanfaatkan sedikit wang tersebut untuk ‘pelaburan’ yang menjana pendapatan seperti berniaga kecil-kecilan di samping menggunakannya untuk keperluan harian.

Pengeluar i-Sinar, wang caruman daripada Akaun 1 Kumpulan KWSP digesa mewujudkan peluang pendapatan tambahan seperti berniaga kecil-kecilan sama ada di rumah mahupun tepi jalan.

ABU SOFIAN

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, dengan kaedah itu, individu terlibat dapat memastikan kelangsungan pendapatan termasuk sedikit simpanan pada masa hadapan selain membantu mengurangkan kesan kegawatan kewangan yang mungkin dialami pada hari tua.

“Sebahagian kecil daripada pendapatan itu seperti 10 peratus keuntungan boleh diasingkan dan dicarum semula kepada KWSP secara sukarela. “Saya risau kalau duit itu digunakan untuk perkara lain dan tiada caruman dilakukan balik, golongan terjejas akan terus terjejas,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mencari peluang tambahan amat penting dan perlu dilakukan bagi memastikan ‘kesinambungan’ wang pada masa hadapan.

“Misal kata dulu b ekerja dan sekarang tidak, jadi guna (duit KWSP) untuk berniaga kecil-kecilan di tepi jalan atau warung. Tidak perlu pinjam daripada orang lain dan berhadapan dengan kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Bagi Abu Sofian, pemansuhan yang diumumkan 11 Februari itu sangat bermakna untuk kelompok terjejas meneruskan kehidupan terutama dalam keadaan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.

WUJUDKAN INSENTIF KHAS B40

DALAM pada itu, beliau berharap pihak KWSP mempertimbangkan pemberian dividen melebihi 5.0 peratus pada tahun ini kerana a gensi itu mencatatkan keuntungan pada 2020.

Ujarnya, dengan langkah itu, baki pencarum yang berkurangan d apat dinaikkan sedikit selain menyifatkan badan tersebut tidak terjejas dengan hanya bantuan one-off i-Sinar berikutan masih mempunyai aliran tunai yang tinggi setiap bulan di samping hasil pelaburan lain.

RAZMAN

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mahu kerajaan mewujudkan inisiatif khusus untuk pencarum B40 supaya wang caruman golongan itu d apat ditingkatkan sekali gus memastikan masa hadapan mereka terjamin.

“Dahulu kerajaan Singapura pernah memperkenal insentif yang dipanggil Singapore share iaitu memberi saham k epada semua penduduknya yang membolehkan ia ditebus atau disimpan untuk mendapatkan faedah.

“Kita boleh guna konsep itu, atau kerajaan carumkan RM500 atau RM1,000 terus ke akaun KWSP terlibat secara one-off,” jelasnya yang mencadangkan caruman seumpama itu dilakukan secara tahunan untuk satu jangka masa.

SYARAT i-SINAR DIMANSUH

PADA 11 Februari, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan pemansuhan syarat pengeluaran i-Sinar dilakukan selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas rakyat.

Sebelum ini, CEO KWSP, Tunku Alizakri Alias ketika sesi wawancara khas bersama TV3, didapati gagal memberikan jawapan meyakinkan selepas diaju kenapa agensi itu masih mengenakan syarat tertentu bagi pencarum kategori kedua iaitu ‘Ahli yang mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sehingga 30 peratus dan ke atas’.

Beliau kemudiannya dikritik warganet dan digesa meletakkan jawatan kerana seolah-olah tidak memahami isu sebenar dengan menjustifikasikan tindakan KWSP tersebut menerusi andaian ‘mungkin mereka yang bergaji RM2,000 mempunyai perniagaan menjual kuih atau mempunyai sumber pendapatan lain dan boleh membawa dokumen sokongan contohnya penyata bank’.

Ekoran itu, Tengku Zafrul melantik Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dahulunya CEO Tenaga Nasional Bhd untuk menerajui KWSP berkuatkuasa 1 Mac ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas