Berita

DBKL bantu baik pulih rumah terjejas

KONTRAKTOR DBKL sedang membaik pulih semula bumbung terbang di PPR Kampung Muhibbah
- Diterbit 8 April 2024 12:41 PM MYT

DUA keluarga yang terkesan susulan insiden bumbung terbang membabitkan dua unit rumah di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah menghela nafas lega apabila kediaman mereka bakal dibaik pulih.

Salah seorang mangsa terlibat, Maniselvam A/L Paramachivan, 49, berkata dia dan isterinya berasa lega apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih di kediaman yang terjejas.

“Buat masa ini, DBKL sedang membaik pulih bumbung rumah yang terbang pada kejadian itu.

“Saya difahamkan, DBKL akan melakukan pembersihan serpihan bumbung yang tercabut di sekitar kawasan selain akan digantikan dengan bumbung baharu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL di atas kesudian membantu kami.” katanya.

Menurut Maniselvam, kejadian seperti ini merupakan kali kedua selepas ia pernah berlaku sekitar tiga tahun lepas.

“Dulu pun pernah berlaku situasi yang sama tapi tidaklah sekuat ini sehingga menyebabkan beberapa kenderaan turut rosak akibat terkena serpihan bumbung terbang itu.

“Disebabkan itu juga, saya dan isteri lebih bersedia jika berlakunya hujan lebat dan angin kencang serta lebih memikirkan tentang soal nyawa juga keselamatan,” ujarnya.

Sementara itu, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan insiden yang berlaku sekitar pukul 6.30 petang itu telah mengakibatkan 25 buah kenderaan mengalami kerosakan akibat terkena serpihan bumbung yang jatuh.

“Ekoran daripada itu, DBKL mengambil tindakan awal dengan melakukan kerja-kerja pembersihan metal deck dan kerangka kayu yang tercabut di sekitar kawasan tersebut.

“Kerja-kerja susulan yang akan dilakukan adalah tempahan metal deck baru dan kerja-kerja fabricate kerangka bumbung jenis besi (c-channel) yang dijangka siap pada 31 Mei nanti,” jelas DBKL.

Meskipun begitu, kesemua mangsa terlibat masih boleh mendiami rumah yang sama selain DBKL turut menghulurkan sumbangan wang tunai kepada mangsa dua buah rumah terjejas.

“Bagi pemilik kereta yang rosak, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi borang tuntutan yang boleh didapati di Pejabat Kecil Perumahan DBKL,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas