Berita

Tiada cadangan angkat Kampung Baru sebagai tapak warisan dunia UNESCO

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru terpelihara
- Diterbit 15 Mac 2024 10:30 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya tidak bercadang untuk mengangkat Kampung Baru sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) kerana ia akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan di kawasan itu tidak dapat diteruskan.

Katanya, hala tuju dasar untuk membangunkan semula Kampung Baru akan dikekalkan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) sebagai hala tuju perancangan dan pembangunan semula Kampung Baru untuk tempoh 20 tahun akan datang.

“Pelan Induk ini akan menjadi rangka utama dan panduan utama dalam pembangunan serta pembaharuan semula Kampung Baru.

“Selain itu Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru terpelihara.

“Percayalah, kerajaan akan berusaha mengangkat Kampung Baru sebagai Bandar Melayu yang tersergam dengan megah di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bertanya adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO

Zaliha berkata pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan, yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oaleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh UNESCO.

“Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru,” katanya.

Menurut Zaliha, antara perkara yang menjadi panduan pembangunan Kampung Baru adalah nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah.

“Selain itu, antara komponen yang turut ditekankan adalah pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan bagi membentuk persekitaran berkualiti dan berdaya huni serta yang paling utama, menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu,” katanya.

Ujar Zaliha, semenjak tertubuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974, terdapat beberapa kawasan di dalam tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang telah dimajukan.

“Kini hanya ada sebilangan kecil sahaja rumah-rumah berciri tradisional yang masih kekal. Antara yang wujud sehingga sekarang adalah Rumah Limas, Rumah Johor, dan Rumah Bumbung Panjang di atas tanah milik individu.

“Selain itu juga, terdapat bangunan yang mempunyai nilai sejarah seperti Kelab Sultan Sulaiman, yang terletak di Jalan Kelab Dewan Sultan Sulaiman. Bangunan ini masih wujud sehingga sekarang dan ia bawah kawal selia Kerajaan Negeri Selangor dan bangunan ini masih belum tersenarai sebagai tapak yang diwartakan di bawah Jabatan Warisan Negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas