Berita

Terowong sanitasi perlu dibuktikan keberkesanannya

CONTOH terowong sanitasi yang diwujudkan di luar negara bagi menyekat penularan wabak Covid-19.
- Diterbit 5 April 2020 12:18 PM MYT

PUTRAJAYA – Keberkesanan terowong sanitasi membasmi virus Covid-19 perlu dibuktikan melalui penyelidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu harus bersandarkan kepada fakta walaupun mengakui alat terbabit satu inovasi yang baik.

Katanya, melalui penyelidikan, ia mampu menunjukkan keberkesanan sesuatu selain mengetahui perkara lanjut seperti penggunaan jenis bahan kimia.

“Kita berdasarkan fakta. Kita perlu lihat penyelidikan untuk tunjukkan sama ada ia berkesan atau tidak.

“Inovasi ini baik tapi perlu ada penyelidikan sama (mengenainya),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, berita melaporkan terdapat inisiatif memasang terowong sanitasi di Mexico yang berfungsi menyembur pelanggan dengan wap ubat membasmi kuman.

Terowong sanitasi berasaskan ozon itu dipasang dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham berkata, seramai 4,488 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kini sedang menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan sejak Jumaat lalu.

Beliau berkata, setibanya di tanah air, semua mereka disaring dan 15 individu dikesan mengalami gejala.

“Kita asingkan mereka bagi menjalankan ujian COVID-19 dan kalau positif, kita akan masukkan mereka ke hospital untuk pemantauan dan rawatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas