Berita

Balik dari Itali punca 37 positif Covid-19, lima mati

- Diterbit 5 April 2020 10:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang awam digesa  memberikan maklumat jujur sekiranya ada menghadiri perhimpunan dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan maklumat pihaknya, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali.

“Daripada kluster tersebut, 37 disahkan positif, lima daripadanya meninggal dunia manakala seorang kritikal di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ketiga. Sebab itu kita minta semua berlaku jujur,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 180 negara seluruh dunia dilaporkan terjejas akibat jangkitan Covid-19.

Berikutan itu, beliau berkata terdapat risiko jangkitan Covid-19 yang diimport.

“Berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang disediakan.

“Di setiap pintu masuk negara, mereka ini akan menjalani saringan kesihatan dan ujian pengesanan Covid-19.

“Mereka yang dikesan positif akan dirujuk ke hospital untuk tujuan isolasi, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas