Berita

Tebing Sungai Gombak diperindah, jadi dua tingkat

ANNUAR (tengah) memotong kek pulut sebagai simbolik setahun menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.
- Diterbit 10 Mac 2021 6:15 AM MYT

SEJAJAR pembangunan semula Kuala Lumpur, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina sungai bertingkat sepanjang dua kilometer di jajaran Sungai Gombak, Kuala Lumpur.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, projek yang dinamakan sebagai KL River City itu akan memanfaatkan kawasan tebing Sungai Gombak.

“Sungai Kuala Lumpur terus diperindahkan. Tebing sungai dimanfaatkan, setidak-tidaknya sebagai tempat riadah.

“Bagi melengkapkan river of live (RoL), kita akan laksanakan River City, to be more exact KL Fun. Ini satu projek yang akan jadi cerminan dan contoh yang mana Sungai Gombak akan dijadikan dua lapis, sepanjang dua kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KWP pagi tadi.

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, pada masa ini pihaknya sedang membuat rundingan yang mana aliran kedua sungai tersebut akan dijadikan tempat rekreasi manakala tebing sungai akan dibangunkan dengan pembangunan moden termasuk ruang untuk riadah dan penjajaan.

Ujar beliau, dengan adanya tambahan tersebut, ia sekali gus melengkapkan projek RoL.

“Tetapi kita juga mahu lihat sambungan Brieckfield ke bawah sehingga sempadan Selangor. Itu kita akan mula kajian awal.

“Jemaah Menteri pernah minta kajian lanjut termasuk keupayaan secara dasarnya, semua sungai yang merentasi Kuala Lumpur perlu diperindahkan dan kita akan ambil langkah untuk melaksanakannya.

“Sekarang sudah panggil pemaju untuk perbincangan dan pihak Kementerian Kewangan juga sudah dimaklumkan tentang perkara itu. Anggaran peruntukan keseluruhan adalah kira-kira RM500 juta,” katanya. – NAZWIN -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas