Artikel

Siapa dalang sebenar perhimpunan 23 Januari?

MAHATHIR (tengah) ketika perhimpunan di depan Istana Negara Selasa lalu
- Diterbit 30 Januari 2024 10:13 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

SIAPAKAH sebenarnya yang menjadi dalang perhimpunan di depan Istana Negara pada Selasa 23 Januari lalu kini menarik perhatian banyak pihak.

Ini kerana, perhimpunan itu diadakan sehari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menghamburkan serangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana marah anak-anaknya disiasat oleh pihak berkuasa.

Dan yang menariknya, walaupun dikerahkan semua pemimpin terutama ahli Parlimen dari pembangkang hadir, tetapi kelihatan jelas hanya Mahathir yang memimpin perhimpunan itu tanpa sokongan pemimpin pembangkang yang lain.

Padahal tersebar memo Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengarahkan seluruh kepimpinan khasnya ahli Parlimen PAS hadir ke majlis itu. Kenapa Takiyuddin sendiri tidak hadir kini menjadi persoalan.

Memo bertarikh 21 Januari itu jelas mengarahkan semua Setiausaha Perhubungan PAS negeri-negeri dan Setiausaha Dewan-Dewan PAS agar mereka menggerakkan penyokong dan orang bawah masing-masing agar menyokong perhimpunan itu.

Ia diperincikan lagi oleh surat Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan pada keesokan harinya iaitu pada 22 Januari yang mengarahkan agar semua ahli badan perhubungan PAS negeri, semua ahli Parlimen, ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Negeri Kelantan hadir ke perhimpunan itu.

Namun bukan sahaja ahli-ahli Parlimen, ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Negeri dari PAS tidak hadir, kelibat Takiyuddin Hassan yang mengeluarkan arahan itu juga tidak kelihatan.

Apa sebenarnya yang berlaku ini?

Yang menarik juga, menurut Badrul Hisham Shahrin, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah bersetuju menerima memorandum itu.

Namun, sehari sebelum perhimpunan itu berlangsung, pegawai dari Istana Negara telah membuat laporan polis bahawa dakwaan itu tidak benar.

Menurut laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers itu, Chegu Bard mendakwa, terdapat tiga wakil dari parti Perikatan Nasional (PN) telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong ke Istana Negara pada 23 Januari pukul 10 pagi.

“Saya selaku wakil dari Istana Negara, Kuala Lumpur menafikan dakwaan oleh lelaki tersebut dan ia merupakan satu kenyataan yang tidak tepat,” kata laporan polis dari Pegawai Perhubungan Akhbar, Istana Negara itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan dakwaan oleh Chegu Bard bahawa tiga wakil Perikatan Nasional (PN) telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Harakahdaily, lidah rasmi PAS sendiri mengaku, pemimpin utama yang hadir ke perhimpunan ini hanya Tun Mahathir sahaja.

Jadi, kalau tidak ada pemimpin PN yang hadir, tidak ada pemimpin PAS yang hadir, siapa sebenarnya yang menganjur dan menggerakkan perhimpunan ini.

Bagi netizen, perhimpunan ini digerakkan oleh Tun Mahathir sahaja selepas marah apabila anak-anak serta kuncu-kuncunya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebab itu maklumat tentang perhimpunan ini datangnya daripada ‘cybertroopers’ upahan ini sahaja. Tiada pemimpin PN, tiada pemimpin PAS, tiada MP PN atau PAS, tiada ADUN PN atau PAS.

Yang ada hanyalah walaun yang tertipu dengan janji-janji manis bahawa kerajaan akan bertukar sahaja.

Mereka datang dari jauh selepas menerima kerahan tetapi orang yang membuat kerahan itu sendiri tidak nampak batang hidungnya. Yang nampak hanya batang hidung besar yang sedang marah apabila anak-anaknya diganggu oleh SPRM.

Apabila saya bertanya kepada kawan-kawan di dalam UMNO, apa yang sebenarnya sedang berlaku.

Mereka menegaskan, ini semua karenah Tun Mahathir. Semua sedar apa yang dibuat oleh beliau ketika menjadi PM dahulu, namun tidak ada yang berani menyentuh beliau.

Hanya setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, pihak berkuasa diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membuat siasatan khasnya ke atas dua kertas yang disebarnya, Kertas Panama dan Kertas Pandora.

Kalaulah Barry Wain, wartawan Asian Wall Street Journal yang menulis buku Malaysian Maverick yang pernah dilarang daripada diedarkan sebelum ini, masih hidup saya berhajat benar mahu mewawancara wartawan dan penulis ini.

Saya ingin tahu, benarkah RM300 bilion wang negara habis kerana karenah ini dan kenapa buku beliau diharamkan.

Penulis adalah bekas wartawan Harakah.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas