Berita

Tampil elegan, anggun dengan Koleksi Aidilfitri MINAZ

KOLEKSI Aidilfitri MINAZ membuatkan pemakai kelihatan lebih anggun. 
- Diterbit 17 Mac 2024 8:00 PM MYT

BAGI memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, MINAZ mempersembahkan koleksi Aidilfitrinya, Lebaran Kita Sempurna yang memukau dengan gaya elegan dan lebih sopan secara langsung akan membuatkan si pemakai kelihatan lebih anggun.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MINAZ, Hafiza Datuk Abdul Hamid, koleksi Aidilfitri tahun ini menampilkan rekaan yang direka khas untuk menonjolkan kecantikan dan keanggunan setiap pemakai. 

“Istimewanya tahun ini, pecahan koleksi raya terbahagi kepada dua iaitu Arab dan klasik. Setiap helai pakaian di dalam koleksi ini direka dengan teliti selain menggabungkan unsur-unsur tradisional dan moden untuk mencipta gaya yang unik tetapi tetap bersahaja dan sesuai dipakai bukan sahaja di Hari Raya.

“Lebaran Kita Sempurna mempersembahkan gabungan unik antara seni floral batik dan blossom dalam edisi printed menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden yang segar bagi menghidupkan nostalgia, kemodenan tradisional, gabungan lama dan baru dengan tradisi relevan dan nilai-nilai hebat.

“Kami berharap koleksi ini bukan sahaja dapat memikat hati pelanggan tetap MINAZ tetapi juga dapat menarik minat pelanggan baru yang mencari pakaian raya eksklusif dan istimewa,” ujar beliau.

ANTARA koleksi Aidilfitri MINAZ.

Lebih istimewa, Hafiza berkata pengeluar koleksi pakaian wanita dan keluarga dengan pelbagai fesyen terkini yang terkenal dengan rekaan bersahaja tetapi mewah itu sekali lagi memberikan sentuhan ajaibnya dalam memperkenalkan line up produk baharu mereka iaitu Abaya Series dengan perincian mewah diinspirasikan dari budaya Timur Tengah.

“Saya percaya semakin ramai rakyat Malaysia yang sukakan pakaian modest, cuma perbezaan pada tahun ini MINAZ pelbagaikan warna dan tiada warna hitam dalam koleksi baharu. Seperti semua sedia maklum, orang Malaysia terkenal dengan warna-warni raya dan kami bawakan bersama signature MINAZ.

“Kami yakin koleksi ini akan menjadi pilihan utama para pencinta fesyen yang menghargai nilai tradisi dan keindahan rekaan moden. Saya juga percaya tahun ini lebaran kita akan lebih sempurna dengan memakai koleksi memukau daripada MINAZ,” ujarnya yang mengeluarkan sebanyak 35 koleksi pada tahun 2024.

Dalam masa sama, beliau berkata MINAZ turut memberikan penekanan kepada potongan yang longgar dan corak melambangkan keanggunan serta kemewahan, sesuai dengan identiti jenama mereka yang dikenali dengan rekaan elegan.

Terus relevan setelah hampir 14 tahun membina jenama dalam industri fesyen tanah air, Hafiza berkata pihaknya sentiasa komited untuk memastikan jenama itu terus kekal relevan dalam industri tekstil dan pakaian.

“Saya melihat corak pembeli MINAZ mereka lebih gemarkan signature printed dan inilah koleksi yang akan laris setiap keluaran. Malah dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kami memilih untuk memberi fokus kepada koleksi malar segar yang mana ia bukan sahaja untuk Aidilfitri namun sesuai untuk semua majlis,” ujarnya rekaan mereka juga terkenal dengan wuduk friendly dan breastfeeding friendly.

HAFIZA (duduk, enam kiri).

Dalam pada itu, Hafiza turut menyatakan keterujaan atas kerjasama dengan pihak penganjur Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2024 iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) serta Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd. 

“Kali ini, kami juga menampilkan MINAZ Friends iaitu kumpulan pempengaruh media sosial bagi memperagakan Koleksi Raya MINAZ iaitu Lebaran Kita. Saya bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan pihak PPj.

“Warga Putrajaya begitu dekat di hati MINAZ. Apabila diberi peluang sebegini untuk berkerjasama dengan PPj dan Ingenious Creative Lab, kami lihat ia sebagai satu peluang keemasan untuk menyantuni pelanggan serta peminat jenama ini di kawasan Putrajaya dan berdekatan,” ujar beliau.

Buat mereka yang berminat, koleksi tersebut sudah tersedia untuk pembelian mulai 1 Mac lalu di butik dan laman web rasmi www.minaz.com.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas