Berita

“Tak semua benda perlu dikongsi di media sosial” – Haqiem Rusli

Selangor
- Diterbit 17 Mei 2021 4:09 AM MYT

TIDAK dinafikan media sosial turut memainkan peranan penting dalam kerjaya seseorang artis. Namun, kadang-kadang ia boleh membawa ‘padah’ tanpa disedari kerana semuanya di luar kawalan.

Menyedari hal itu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-33 (ABPBH 33) tidak mahu terlalu terikat atau berkongsi apa sahaja dalam media sosial.

“Saya cuba untuk jadi lebih terhad, sedikit ‘mahal’ dan eksklusif. Malah saya kini lebih sedar kehidupan realiti itu juga perlu seimbang dengan hal lain. Tapi tak bermaksud saya nak kata dunia media sosial tak bagus.

“Saya masih sesekali sekala bertanya khabar peminat, mengadakan sesi lintas langsung dan memuat naik entri di media sosial,” katanya.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli dia mula mengimbangi media sosial dengan kehidupan sebenar sejak dua tahun lalu.

“Malah sejak memenangi ABPBH 33, ada yang menasihati dan menegur saya dalam hal itu. Dengan situasi semasa termasuk kuasa netizen, saya sedar tak semua benda perlu dikongsi di media sosial.

“Kalau hari hari saya kongsi gambar swafoto atau nyanyian ‘cover’ pun mesti ramai akan bosan. Saya ajar diri untuk tidak pos sembarangan. Saya pun tak mahu berkongsi entri yang seolah olah menampakkan mahu menjadi itu ini termasuk pelawak.

“Saya gemar melihat contoh seperti sifu Datuk M Nasir yang tebal dengan sisi eksklusifnya. Biarlah sesekali saya ‘keluar’ di media sosial, baru ramai merindui diri ini,” katanya yang menggemari rendang daging masakan ibu, lemang dan tat bersalut coklat Cadbury sebagai menu wajib hari raya.

HAQIEM beraya bersama keluarga di Ulu Langat, Selangor

Haqiem dan keluarganya beraya di kediaman mereka di Ulu Langat, Selangor. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas