Berita

Suami Exco Pembangunan Wanita Perak meninggal dunia

- Diterbit 17 Mei 2021 4:13 AM MYT

SUAMI Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak yang juga Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, meninggal dunia di kediaman mereka di Sunway City Ipoh, Tambun di sini awal pagi tadi.

Pegawai Khas beliau Nursyidah Jaeszan berkata Edi Razman Mohd Ismail, 53, tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika berada di samping Wan Norashikin dan dua daripada tiga anak mereka sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada kira-kira 6.50 pagi.

“Arwah mempunyai sejarah sakit jantung namun punca kematiannya belum dikenal pasti. Jenazahnya telah dibawa ke bahagian forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk ujian COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas segala urusan berkaitan selesai. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas