Berita

Taiwan, AS harap dapat capai kata sepakat dalam perjanjian perdagangan menjelang akhir tahun

- Diterbit 17 Oktober 2022 10:33 AM MYT

TAIWAN berharap dapat mencapai kata sepakat dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai senarai persetujuan awal dalam perjanjian perdagangan dua hala, sebelum akhir tahun ini, kata timbalan perunding perdagangan negara itu pada Isnin.

Timbalan Wakil Perdagangan dari Pejabat Rundingan Perdagangan Taiwan, Yang Jen-ni, berkata Taipei dan Washington mahu menyiapkan senarai itu sebaik sahaja kedua-dua pihak mencapai konsensus ke atas sebahagian daripada 11 bidang perdagangan yang sudah dibincangkan dan dipersetujui dalam rundingan perdagangan antarabangsa yang merupakan sebahagian usaha untuk mencapai perjanjian perdagangan, Inisiatif AS-Taiwan mengenai Perdagangan Abad Ke-21.

Bagaimanapun, Yang tidak menghuraikan atau memberi butiran lanjut mengenai senarai awal itu, lapor Xinhua.

Inisiatif AS-Taiwan mengenai Perdagangan Abad Ke-21 diumumkan Presiden AS Joe Biden selepas Taiwan dikecualikan daripada Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik, perkongsian multilateral diketuai AS melibatkan 12 negara lain yang disebut-sebut sebagai pengimbang kepada China-memulakan perjanjian perdagangan bebas di rantau ini.

Senarai atau perjanjian awal itu yang membabitkan beberapa barangan dan perkhidmatan terhad akan digunakan untuk memulakan perdagangan dua hala, sebelum lebih banyak perjanjian perdagangan bebas yang lebih komprehensif dipersetujui kelak.

Sebelas bidang perdagangan yang akan ditangani dalam rundingan itu termasuk kemudahan perdagangan, amalan kawal selia yang baik, antirasuah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian, piawaian, perdagangan digital, buruh, alam sekitar, perusahaan milik negara dan dasar serta amalan bukan pasaran.

Pada 17 Ogos, kedua-dua kerajaan mengumumkan pusingan pertama rundingan inisiatif baharu akan berlangsung pada musim luruh ini, namun belum ada maklumat terkini mengenai perjanjian itu setakat ini.

Yang berkata Taiwan dan AS masih dalam perbincangan untuk mendapatkan masa dan lokasi yang sesuai untuk mengadakan mesyuarat pusingan pertama.

Kedua-dua pihak berharap persetujuan muktamad bagi semua 11 bidang dapat dicapai sebelum akhir tahun depan dengan senarai persetujuan awal bagi beberapa bidang akan dicadangkan sebelum akhir tahun ini, sebaik sahaja rundingan rasmi dimulakan, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas