Berita

Petrol percuma manfaatkan penunggang motosikal

MOHD Irwan Rizal mengisi petrol salah seorang penunggang motosikal yang turut serta dalam program Petrol Percuma 5.0 di Taman Seri Rampai, Setiawangsa.
- Diterbit 17 Oktober 2022 7:43 AM MYT

LEBIH 600 penunggang motosikal di sekitar Taman Seri Rampai, Setiawangsa menerima manfaat daripada program Petrol Percuma 5.0 yang diadakan selama dua jam.

Inisiatif prihatin dilaksanakan Pertubuhan Bukan Kerajaan, MySetiawangsa itu adalah antara usaha diambil bagi ringankan belanja harian golongan sasar rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

SALAH seorang penunggang motosikal OKU turut meraih manfaat hasil pelaksanaan program Petrol Percuma 5.0.

Bagi Presiden MySetiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah, pendekatan itu diambil sebagai menyahut saranan kerajaan supaya lebih banyak pihak hadir membantu rakyat memerlukan terutama golongan B40.

Katanya, program secara berkala yang telah memasuki edisi kelima penganjuran, sangat efektif apabila mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada orang ramai tanpa mengira kaum mahupun peringkat umur.

“Berdasarkan pemerhatian awal, anggaran kami lebih 600 penunggang motosikal telah menerima manfaat daripada program Petrol Percuma 5.0 malam ini melibatkan sejumlah peruntukkan kira-kira RM5,000.

“Secara peribadi nilai wang dibelanja bukan ukuran, sebaliknya manfaat diterima rakyat itulah keutamaan apabila penerima berkata isian percuma penuh tangki ini menjmatkan kos petrol bagi menghantar dan ambil anak sekolah dua hingga tiga hari,” katanya yang ditemui di Petron, Taman Seri Rampai di sini.

Inisiatif Petrol Percuma siri ke-5 dianjurkan oleh MySetiawangsa itu, bukan sahaja telah mendapat sambutan positif, malah menjadi kesinambungan program sebelumnya untuk membantu golongan rakyat terkesan akibat pendemik COVID-19.

SEBAHAGIAN penunggang motosikal tidak melepaskan peluang untuk menikmati pemberian petrol percuma hasil inisiatif MySetiawangsa.

Selain disertai oleh rakan strategik seperti Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Setiawangsa, program kali ini diserikan dengan kehadiran pelakon Puteri Sarah Liyana, Putera Amaris serta Tam Suhaimi turut sama menyantuni penunggang motosikal dari sekitar kawasan Setiawangsa.

Menurut Mohd Irwan Rizal, Program Petrol Percuma 5.0 yang dianjur merupakan bukti komitmen MySetiawangsa untuk membantu warga setempat selain mengalu lebih ramai rakan strategik turut sama bagi menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.

“Pendekatan ini juga adalah bukti komuniti Setiawangsa akan sentiasa diberi perhatian khusus dalam konteks meringankan beban kos sara hidup rakyat yang selaras aspirasi Keluarga Malaysia.

“Inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja malah akan dipertingkat dan ditambah baik di masa akan datang supaya seiring dengan keperluan semasa rakyat,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas