Berita

Segamat catat ipu tidak sihat

- Diterbit 11 Mac 2021 5:46 AM MYT

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Segamat pagi ini mencatatkan status kualiti udara berada pada tahap tidak sihat manakala tujuh stesen lain di negeri ini menunjukkan tahap sederhana.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata setakat 9 pagi tadi, Stesen Pemantauan IPU CA29J Segamat mencatatkan bacaan 153.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melalui JAS cawangan Muar sudah menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kesan aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku berhampiran Stesen Pemantauan IPU CA29J Segamat.

“Pemantauan lanjut berhubung pembakaran terbabit sedang dilakukan JAS cawangan Muar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, terdapat tiga titik panas dikesan di negeri ini semalam, melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA).

Menurutnya, satu lokasi terbabit dikesan di Mersing manakala dua yang lain di Kota Tinggi.

Beliau sehubungan itu, menasihati penduduk setempat supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Orang ramai katanya, boleh merujuk bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman web JAS di http:apims.doe.gov.my atau aplikasi MyIPU. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas