Berita

Sumbangan Hari Raya Aidilfitri ceriakan pelajar, asnaf sekitar Parlimen Bandar Tun Razak

DATUK Seri Dr Wan Azizah (empat duduk dari kiri) bergambar bersama sebahagian pelajar yang menerima Sumbangan Bakul Raya 2023 di Dewan SMK Orchid Desa, hari ini.
- Diterbit 15 April 2023 6:00 AM MYT

SERAMAI 151 pelajar dari dua buah sekolah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orchid Desa, hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dua buah sekolah itu melibatkan 100 pelajar dari SMK Orchid Desa dan 51 pelajar pula dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, sumbangan itu diberikan bagi menambah keceriaan kepada para pelajar khususnya dalam keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk bersama-sama meraikan dan mengimarahkan suasana Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Pada hari ini, kita telah menyalurkan sedikit sumbangan hari raya berupa duit raya dan Bantuan Bakul Raya yang mengandungi barang-barang makanan harian kepada para pelajar yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Sumbangan Bakul Raya 2023 itu.

Pada hari yang sama, beliau juga berkesempatan menghulurkan sumbangan bakul raya kepada kira-kira 200 golongan asnaf di Masjid Al-Najihin, Cheras.

“Kalau kita lihat di sekitar kawasan Bandar Tun Razak masih ada yang kekurangan dari segi pendapatan, keperluan harian dan sebagainya.

“Jadi, hari ini kita mendapat kerjasama Yayasan Aman untuk membantu meringankan bebanan mereka di dalam bulan Ramadan di samping melakukan sedikit persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai perancangan melakukan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat Parlimen Bandar Tun Razak, beliau berkata ia berkemungkinan akan diadakan pada minggu ketiga hari raya.

“Minggu pertama sudah semestinya ramai yang akan pulang ke kampung halaman dan berpuasa enam, jadi kita mengambil kira faktor-faktor tersebut.

“Insya-Allah jika tiada apa-apa halangan, minggu ketiga kita akan laksanakan,” katanya.

Terdahulu, sumbangan itu turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin dan Ketua UMNO Bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas