Berita

10,000 pek bubur lambuk untuk komuniti Putrajaya

FADLUN (berdiri, tengah) bersama mereka yang terlibat dalam Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan 2023.
- Diterbit 16 April 2023 2:00 AM MYT

BERSEMPENA sambutan bulan Ramadan 1444 Hijrah, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menganjurkan Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan 2023 pada 8 April lalu bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.

Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan PPj, Mohd Ali Jusoh, sebanyak 10,000 pek bubur lambuk diedarkan pihaknya kepada komuniti setempat dan surau yang terdapat di sekitar Putrajaya.

“Program yang merupakan sebahagian daripada acara di bawah kalendar Program Bulan Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2023 ini adalah bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama semua pihak yang terlibat secara langsung.

“Selain itu, ia juga dilaksana untuk mengeratkan ukhuwah di antara warga PPj bersama komuniti Putrajaya,” ujarnya kepada Wilayahku.

Mohd Ali berkata program dengan kerjasama komuniti Putrajaya itu diadakan secara bergotong-royong bermula pada pukul 9 pagi dengan melibatkan seramai 380 orang peserta.

“Peserta yang terlibat menerusi program ini adalah terdiri daripada 30 Persatuan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya, KRISPutra PPj; PUSPANITA PPj; Kelab Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj; Persatuan Warga Emas Putrajaya (PERWEP); Pusat Aktiviti Warga Emas Putrajaya (PAWE); Kelab Anak Muda Perdana serta warga PPj.

Alhamdulillah, dengan kerjasama semua kami berjaya memasak sebanyak 20 buah periuk bubur lambuk yang mana kita dapat menghasilkan 10,000 pek juadah untuk diedarkan kepada orang ramai.

“Terima kasih kepada semua yang berhempas-pulas membanting tulang dalam menjayakan program ini. Diharap sumbangan ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin selama ini bersama komuniti dan penduduk sekitar Putrajaya.

“Tanpa sokongan daripada semua pihak, agak sukar untuk acara ini berlangsung. Semoga Allah membalas ganjaran kepada mereka yang melakukan amal kebaikan ini,” tambahnya kerja memasak diketuai oleh Roslan Ab Rahman selaku Ketua Chef yang juga merupakan pemenang Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2023 Kategori Hotel Dan Restoran anjuran Menara Kuala Lumpur.

Turut hadir memeriahkan program tersebut adalah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas