Berita

SUKMA 2022: Skuad kanu WiPers tampil cemerlang berbanding semalam, Raih 3 emas, 3 gangsa

FADLUN (lima kiri) bersama atlet kanu yang berjaya menghadiahkan pingat menerusi enam acara yang dipertandingkan hari ini.
- Diterbit 19 September 2022 12:54 PM MYT

SKUAD kanu kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) tampil cemerlang berbanding semalam apabila berjaya meraih tiga pingat emas dan tiga gangsa.

Emas pertama dihadiahkan menerusi acara K1 500 meter (m) lelaki oleh atlet Khairul Naim Zainal manakala emas kedua dan ketiga menerusi acara K2 500m wanita dan K4 500m lelaki.

Timbalan Ketua Kontinjen (II) WiPers, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berpuas hati dengan prestasi serta semangat yang ditunjukkan para atlet.

“Meskipun semalam kita tersasar namun atlet tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi pada hari ini seterusnya berjaya menambah koleksi pingat emas.

“Dengan tercapainya sasaran pada hari ini, saya yakin semangat atlet ketika ini sedang membara dan akan memenangi lebih banyak pingat emas pada acara esok dan seterusnya,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku.

Terdahulu, Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya terus menjadi tumpuan acara kanu dan sebanyak 10 lagi pingat emas akan ditawarkan pada esok bagi acara jarak 200m. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas