Berita

Sukarelawan FPM KUIS bantu mangsa banjir, kumpul sumbangan

Dekan FPM
- Diterbit 23 Disember 2021 1:56 PM MYT

SEMBILAN persatuan di bawah Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya mengutip sumbangan RM10,000 dalam tempoh dua hari menerusi Misi Bantuan Banjir FPM.

Selain menyasarkan mahasiswa FPM yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri, misi bantuan ini turut membantu mangsa atau penduduk di Kampung Pasir, Kuala Lumpur.

SERAMAI 85 sukarelawan dalam kalangan pelajar FPM KUIS, Dekan FPM, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM dan kaki tangan KUIS turun padang hari ini bagi membersihkan rumah dan barangan yang musnah akibat banjir pada Sabtu lalu.

Seramai 85 sukarelawan dalam kalangan pelajar FPM KUIS, Dekan FPM, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM dan kaki tangan KUIS turun padang hari ini bagi membersihkan rumah dan barangan yang musnah akibat banjir pada Sabtu lalu.

Turut serta Pemangku Rektor merangkap Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Ketua Sukarelawan, Mohamad Faizul Hazeem Mohd Ariff, 21, berkata, misi bantuan hari ini tidak akan berjaya tanpa adanya sokongan daripada pelbagai pihak.

“Kami merancang misi bantuan ini pun pada saat akhir. Selepas mengenal pasti lokasi dan sasaran kami, barulah kami mulakan hebahan untuk mendapatkan sumbangan. Alhamdulillah, ramai yang bermurah hati dan ingin sama membantu.

“Saya difahamkan ada penyumbang dalam kalangan artis, kelab persatuan, pelajar, kakitangan dan orang ramai. Rasa terharu juga sebab ada beberapa pihak yang sudi menaja keperluan sukarelawan bagi menjalankan misi ini. Tanpa mereka semua misi ini tidak akan berjaya,” katanya kepada Wilayahku.

SUKARELAWAN FPM KUIS bergotong Royong membersihkan rumah mangsa banjir.

Faizul juga Presiden Halal Management Club (HMC) berkata, sukarelawan yang turut serta menjadi tulang belakang kepada misi bantuan itu.

“Tidak menjangka juga ramai yang nak menjadi sukarelawan. Tapi kami terpaksa hadkan penyertaan. Walaupun jumlah itu tidak ramai daripada badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi lain, tapi semuanya memiliki semangat yang besar iaitu ingin membantu mereka yang terkesan dek banjir.

“Kehadiran kami di lokasi juga disambut baik oleh penduduk kampung. Sememangnya mereka sangat memerlukan bantuan terutama dalam membersihkan rumah. Daripada sumbangan yang berjaya dikumpul, kami membeli pelbagai barangan keperluan dan diserahkan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farid Ravi berkata, misi bantuan anjuran FPM itu berjalan lancar dengan adanya kerjasama semua pihak.

“Alhamdulillah, hari ini kami di sini untuk sama-sama membantu masyarakat yang terbabit dalam bencana banjir baru-baru ini terutama di Kampung Pasir ini. Apabila sampai di sini, kami diberi taklimat awal.

“Kami juga dapat bekerjasama dengan penduduk setempat dan NGO lain. Kami keluarkan barangan dari rumah mangsa, kutip dan bersihkan supaya Alam Flora atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh ambil sampah ini.

“Sukarelawan kita juga masuk dalam rumah dan bantu cuci pinggan mangkuk. Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak kita dapat buat yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, sembilan persatuan terbabit adalah Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Muamalah (PMFPM), Halal Management Club (HMC), Economy with Finance Club (Efinc), Kuis Business Club (KBC), Kelab Mahasiswa Komunikasi (Com.munity), Islamic Banking and Finance Club (IBFC), Human Resource Club (HRC), English Language and Literature Society (ELITS) dan Kuis Accountancy Club (KAC) dan turut disokong oleh Persatuan Mahasiswa Teknologi Maklumat Kuis (INTECH). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas